“Kehendak saya ke Linggi, bukan lari dari Sikamat”

SEPANG 16 Julai – “Saya ke Linggi atas kehendak saya. Ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi. Jika Allah izinkan kemenangan, saya akan bekerja keras, lebih lagi untuk penduduk di DUN Linggi,” demikian catatan Aminuddin Harun.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu diumum bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, manakala kerusi DUN Sikamat yang disandang beliau sejak 2008 akan diwakili Setiausaha Politik kepada Aminuddin, Nor Azman Mohamad.

“ Saya bukan lari dari Sikamat. Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat,” kata Naib Presiden PKR itu.

Aminuddin mengulas pelbagai spekulasi mengenai tindakan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan, meninggalkan kerusi DUN Sikamat.

“Saya ‘pass’ (lepaskan) baton bertanding di kerusi Sikamat buat Ustaz Norazman. Saya dah pesan, jaga Sikamat. Saya sayang Sikamat.

Terima kasih Sikamat,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Beliau turut memuat naik beberapa keping foto lama ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Sebelum ini Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR mengakui DUN Linggi bukan kerusi selamat kerana ia kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

Bagaimanapun, keputusan beliau berpindah ke kerusi itu dari kerusi DUN Sikamat dibuat dengan penuh teliti dan berasaskan beberapa faktor dalam usaha memastikan PH dapat merampas kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui DUN Sikamat banyak meninggalkan kenangan kepadanya sejak memenangi kerusi itu pada 2008.

“Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang, sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat. Tahun 2008. Sikamat yang sudi memenangkan saya.

Kerjaya saya politik mula di sana. Susah, lelah saya penduduk Sikamat yang tahu.

Ofis atas kedai, dari ‘simple-simple’ je, kini lebih baik rupa dia.

“Dulu, semasa peruntukan pembangkang terhad, macam macam cara kami cari duit untuk mendapatkan bantuan untuk penduduk di sana. Yang bersama-sama susah senang saya sendiri tahu bagaimana kami sama-sama cari dana, buat program untuk penduduk di sana,” katanya.

Di Sikamat juga, tegas Aminuddin beliau bersilaturahim dengan ramai orang, dari hubungan ADUN dan rakyat sehinggalah sekarang menjadi rapat macam keluarga.

“Setiap kali pulang mengadakan program bersama rakyat Sikamat, rasa macam pulang ke kampung sendiri.

“Semua keluarga saya pun dah selesa dengan penduduk Sikamat. Isteri dan anak-anak saya pun dah biasa dengan orang Sikamat. Begitulah saya dan Sikamat,” katanya.

Setakat ini, Aminuddin akan berdepan penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli (BN) yang memenangi kerusi ini pada pilihan raya 2023 dengan majoriti 1,461 undi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Zamri Md  Said.

Nnn

Related posts

Leave a Comment