BRUSSELS – Lebih 10,000 kematian direkodkan ketika gelombang haba luar biasa yang melanda bahagian barat benua Eropah pada penghujung Jun lalu,
Sebahagian besar kematian itu, iaitu lebih 9,000 kes membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas, warga emas sebagai antara kumpulan paling berisiko.
Makluman itu berdasarkan data diterbitkan EuroMOMO, rangkaian pemantauan kematian yang disokong Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Suhu melampau boleh mengakibatkan kematian akibat strok haba atau memburukkan lagi penyakit kardiovaskular dan pernafasan.
Data yang dikumpulkan daripada statistik kematian kebangsaan di 27 negara Eropah bagaimanapun merangkumi semua punca kematian, bukan hanya berkaitan haba, bagi minggu 22 hingga 28 Jun, iaitu ketika gelombang haba memuncak di Perancis, Sepanyol, Britain dan beberapa negara lain.
Sebagai perbandingan, jumlah kematian di negara-negara Eropah yang sama bagi tempoh lapan minggu sebelumnya secara purata adalah kira-kira 500 kematian seminggu lebih rendah daripada paras kebiasaan.
Menurut EuroMOMO, Perancis dan Belgium adalah dua negara Eropah yang mencatatkan kadar kematian berlebihan pada tahap amat tinggi pada minggu terakhir Jun.
Institut kesihatan awam Belgium, Sciensano melaporkan kadar kematian di negara itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan ketika gelombang haba sejak rekod mula dikumpulkan pada tahun 2000.
Sementara itu, satu kajian saintifik berasingan yang diterbitkan pada Isnin menganggarkan seramai 2,700 orang meninggal dunia akibat faktor berkaitan haba di England dan Wales sahaja sepanjang gelombang haba pada Mei dan Jun.
Nnn
