KUALA LUMPUR 13 Jan. – Presiden UMNO Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengulangi penegasan bahawa parti utama orang Melayu itu tidak pernah menolak Islam dan juga tidak pernah mengeksploitasi agama Islam.
Sebaliknya, Islam bagi UMNO ialah panduan kenegaraan, bukan modal politik, dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan mahupun retorik.
“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3, peranan Raja-Raja Melayu diperkukuhan di dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupa,” katanya
Tegasnya, usaha dan ikhtiar yang UMNO lakukan menjadikan Islam berfungsi dalam sebuah negara majmuk yang berdaulat, stabil dan dihormati.
Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO juga berperanan menyusun pentadbiran hal ehwal dan perundangan Islam secara berautoriti melalui JAKIM, Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri, serta Mahkamah Syariah.
“Pendidikan Islam pula terus diperkasakan secara menyeluruh melalui sistem pendidikan kebangsaan, sekolah-sekolah agama, SMKA, institusi-institusi pengajian tinggi, serta institusi tahfiz diperkukuh dalam kerangka nasional, agar lahirnya generasi yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
Penubuhan Tabung Haji, pembangunan perbankan dan kewangan Islam, serta pemerkasaan institusi zakat dan wakaf membuktikan bahawa Islam bukan sekadar identiti, tetapi sumber kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.
Berkaitan dengan Islam juga, Ahmad Zahid berharap Pas akan terbubar selepas UMNO memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya pada 2019.
Beliau membangkitkan perkara itu selepas mendakwa kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat pada 2008 jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya, Pas akan dibubarkan.
“Apabila Almarhum Nik Aziz menyebutkan UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan. Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepemimpinan UMNO, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.
Tapi, Pas belum terbubar lagilah. Saya harap (Pas) akan terbubar dengan sendiri,” katanya.
Untuk rekod, usul khas pindaan Perlembagaan UMNO pada Perhimpunan Agung parti 2019 diluluskan sebulat suara oleh perwakilan dalam persidangan antara lainnya meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudian disusuli dengan bangsa dan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Multaqa hari ini bukan sekadar sebuah persidangan intelektual sebaliknya manifestasi komitmen UMNO untuk melaksanakan amanah terhadap agama, rakyat dan masa depan negara.
“Di sinilah akal, wahyu dan realiti bertemu. Kita menyambung tradisi keilmuan dengan mendengar bait-bait pesanan “Ulama’ warathatul anbiya’” para pewaris nabi, menggali ilmu agar belajar untuk menimbang bukan menghasut; menenangkan bukan membakar dan memandu ummah bukan memecah belahkankan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai seorang yang memikul amanah qiyadah (kepimpinan) negara, beliau percaya negara boleh dibina dengan kekuatan, tetapi ia hanya dapat dipimpin dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Ilmu tanpa amanah akan menjadi alat. Kuasa tanpa ilmu pula akan menjadi beban. Di sinilah letaknya peranan besar ilmuan sebagai nur (cahaya) yang menerangi perjalanan negara,” katanya.
Nnnn
