NEW DELHI – Pilihan Raya Umum (PRU) bagi memilih Parlimen baharu akan diadakan mengikut jadual pada 12 Februari depan, kata Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus.
Beliau menegaskan tiada perubahan dalam rancangan terbabit meskipun jutaan dolar didakwa dibelanjakan oleh ‘penyokong rejim yang digulingkan'” untuk mengganggu proses pilihan raya itu.
“Rakyat negara ini tidak sabar untuk menunaikan hak mengundi mereka yang telah dirampas oleh rejim autokratik,” kata Yunus, merujuk kepada pentadbiran bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan.
Yunus membuat kenyataan itu dalam perbualan telefon dengan Sergio Gor, Duta Amerika Syarikat (AS) ke India yang juga berkhidmat sebagai utusan khas Presiden AS, Donald Trump bagi Asia Selatan dan Asia Tengah.
Menurut laporan media, Yunus menuduh Hasina yang melarikan diri ke India pada Ogos 2024, sebagai penghasut keganasan.
Sebelum ini, Bangladesh digegarkan dengan pembunuhan pemimpin belia, Sharif Osman Hadi yang juga tokoh popular dalam kebangkitan anti-Hasina.
Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Asia Tengah Jabatan Negara AS, dalam satu hantaran di platform X memaklumkan bahawa Gor telah mengadakan perbualan yang produktif dengan Yunus.
Mereka membincangkan perkembangan terkini di Bangladesh serta kepentingan AS dalam memajukan kemakmuran melalui perdagangan.
Nn
