PM tolak saranan pecat setpol kanan

KUALA LUMPUR  21 Nov. –  Anwar Ibrahim menolak saranan supaya beliau mengambil tindakan memecat Setiausaha Politik Kanannya Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung surat sokongan dikeluarkan bagi kontraktor yang membida projek hospital.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah membuat teguran keras terhadap Shamsul Iskandar supaya ia juga menjadi pengajaran kepada yang lain.

Anwar diminta mengulas desakan bekas Menteri Ekonomi,  Rafizi Ramli supaya tindakan pecat dikenakan terhadap Shamsul Iskandar diambil bukannya sekadar menegur.

“Saya faham dari mana datangnya pandangan beliau, tetapi kita perlu melihat kepada tahap kesalahan.

“Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan (setiausaha politik itu), tetapi kita perlu tanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.

Jadi, kita sudah menegurnya… kita tidak boleh mendesak tindakan tegas diambil hanya kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Kita perlu konsisten. Saya telah menggunakan kata-kata keras terhadap kakitangan saya supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya seperti dilaporkan media.

Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan di dalam pesawat sewaan Malaysia Airlines yang membawanya ke Afrika Selatan selepas lawatan rasminya ke Addis Ababa semalam.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, Anwar perlu bertindak memecat setiausaha politik berkenaan dan hanya dengan cara itu perdana menteri akan menghantar mesej jelas mengenai komitmennya membanteras rasuah.

“Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur. Pecat sahaja,” kata Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu video yang dimuat naik pada akaun Facebook miliknya.

Selasa lalu, Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa setiausaha politiknya sudah ditegur berhubung isu berkenaan, dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan sebegitu.

Anwar berkata, beliau hanya boleh menulis sila teliti walaupun bagi surat yang ditujukan kepadanya, dan kontrak boleh disemak tetapi tidak boleh diberi sokongan automatik.

Bagaimanapun, Rafizi berkata jawapan Anwar kurang `umph’, memandangkan surat berkenaan didedahkan tahun lalu dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad juga sudah mengesahkan keasliannya.

Mengenai desakan Rafizi supaya setiausaha politik berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, Anwar berkata: Surat itu bukan arahan. Anda dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.

“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion. Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil… betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri,” katanya.

Apabila ditanya sama ada amaran keras sudah mencukupi, Anwar berkata pengkritik perlu konsisten dalam memilih isu yang hendak diperjuangkan.

“Mereka mesti konsisten… kamu tidak mengetengahkan kes rasuah besar melibatkan VIP (orang kenamaan), tetapi kamu buru ikan bilis hanya untuk meraih populariti, ” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment