MADRID – Nahas dua kereta api berkelajuan tinggi yang tergelincir dan bertembung berhampiran bandar Cordoba di selatan Sepanyol pada Ahad,mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang manakala 25 yang lain cedera parah.
Menurut laporan media, kira-kira 100 penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan tersebut berlaku pada 7.45 malam waktu tempatan apabila sebuah kereta api yang membawa 317 penumpang bagi laluan Malaga-Madrid terkeluar dari landasan berhampiran Amaduz, kira-kira 20km dari Cordoba.
Kereta api yang tergelincir itu merempuh sebuah lagi kereta api berkelajuan tinggi yang sedang dalam perjalanan di landasan bersebelahan dari Madrid ke Huelva, menyebabkan kereta api kedua tersebut turut terkeluar dari landasan.
Kemalangan kereta api paling buruk sebelum ini di Sepanyol berlaku pada Julai 2013, apabila 79 orang terkorban selepas sebuah kereta api berkelajuan tinggi tergelincir ketika memasuki bandar Santiago de Compostela akibat kelajuan berlebihan.
Menteri Pengangkutan Sepanyol Oscar Puente menyifatkan pertembungan itu sebagai satu “impak yang dahsyat,” di mana dua gerabak terakhir kereta api Malaga-Madrid tergelincir dan merempuh dua gerabak pertama kereta api yang datang dari arah bertentangan, sehingga menyebabkannya terkeluar dari landasan.
Pasukan perkhidmatan kecemasan dari wilayah Andalusia telah dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala penduduk setempat turut membantu memindahkan individu yang mengalami kecederaan ringan ke sebuah pusat sukan berhampiran untuk bantuan awal.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata di media sosial bahawa beliau dan kerajaannya sedang memantau rapat kemalangan tersebut. Keluarga Diraja Sepanyol turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Nnnn
