Tidak gugat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 17 Jan.  – Hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tidak bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mahu kolaborasi agung itu benar-benar dapat menyatukan roh dan perjuangan parti Melayu dan Islam dalam kerangka lebih besar.

UMNO juga katanya, tidak mahu mana-mana parti yang akan menganggotai kolaborasi itu membubarkan parti mereka, sebaliknya bersama secara tidak rasmi terlebih dahulu bagi langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar.

Ahmad Zahid menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini, yang kemudian dipersetujui perwakilan.

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) jangan risau. Saya tidak akan ada agenda untuk ‘tebuk atap’ atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan, tetapi semata-mata bertujuan menterjemah keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam di bawah satu bumbung demi menterjemah agenda Islam dan Melayu.

Mudah-mudahan, jika ini dapat kita terima dan menjadi satu usul yang dikemukakan Presiden sendiri kepada seluruh perwakilan dalam PAU 2025,” katanya.

Ahmad Zahid, berkata kolaborasi agung itu akan dapat mengetepikan warna berbeza dalam kalangan parti Melayu dan Islam, yang seharusnya berada di bawah satu bumbung yang sama.

Semalam ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, baik secara individu atau secara en bloc.

Beliau juga berkata, pintu UMNO sentiasa terbuka luas, yang menjadi tempat ahli dibesarkan dan mengadun erti perjuangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid, memaklumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang ditubuhkan bagi memperkukuh agenda penyatuan politik Melayu serta membuka ruang penyertaan lebih luas ke dalam UMNO.

“Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa ini ditubuhkan bagi menerima penyertaan semula ahli parti yang sudah meninggalkan UMNO, selain membuka ruang kepada mereka yang belum pernah menjadi ahli untuk menyertai UMNO mengikut proses dan peraturan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman dilantik menerajui Musyawarah Nasional, jawatankuasa khas bagi membincangkan agenda politik Melayu secara menyeluruh merangkumi kedudukan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan serta masa depan generasi Melayu.

Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar PAU mengumumkan UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Katanya, penganjuran musyawarah itu menjadi sebahagian daripada kerangka pemulihan di bawah tiga langkah pemugaran atau pembaharuan politik UMNO.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ia kerana dalam menempuh jalan berliku ke hadapan, UMNO perlu memperkukuhkan pasak-pasak perjuangan bagi memastikan rumah bangsa berkenaan mampu menyediakan landasan untuk mara dengan lebih terarah.

“Untuk itu, suka saya menggariskan Pemugaran Upaya Politik UMNO yang melibatkan pertama, pemulihan keyakinan dan sokongan orang Melayu. Pemulihan mesti bermula dengan membetulkan naratif parti di mata rakyat.

“Ini merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi, memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa. Justeru dalam kerangka pemulihan ini, UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional,” katanya.

Nnnnnnmm

Related posts

Leave a Comment