GAZA – Seramai 168 doktor Palestin menerima pensijilan perubatan lanjutan mereka pada satu majlis graduasi di hadapan bangunan yang musnah di Kompleks Perubatan al-Shifa di Bandar Gaza pada Khamis lalu.
Kumpulan doktor, yang menamakan diri mereka sebagai “Kohort Kemanusiaan”, berjaya menamatkan pensijilan Lembaga Palestin dalam keadaan luar biasa selepas dua tahun perang Israel.
Graduan terbabit menjalani pengajian dan menduduki peperiksaan sambil bekerja tanpa henti di hospital-hospital Gaza sepanjang tempoh kebuluran, pemindahan paksa dan pembunuhan beramai-ramai.
Sebahagian daripada mereka turut cedera, ditahan atau kehilangan ahli keluarga akibat perang.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Youssef Abu al-Reish, menyifatkan majlis itu sebagai graduasi yang lahir daripada “rahim penderitaan, di bawah pengeboman, di celah runtuhan dan aliran darah”.
Pengarah Perubatan al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya berkata, Israel berusaha memusnahkan modal insan Palestin melalui serangan ke atas kemudahan kesihatan, “namun usaha itu gagal”.
Majlis itu turut menampilkan kerusi kosong yang mempamerkan gambar petugas kesihatan yang terkorban sepanjang perang.
Kompleks Perubatan al-Shifa telah berulang kali menjadi sasaran sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Hospital itu diceroboh dua kali — pada November 2023 apabila Abu Salmiya ditahan selama tujuh bulan, dan sekali lagi pada Mac 2024 yang mengakibatkan kemusnahan besar.
Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal April 2024 lalu mendapati, hospital itu telah berubah menjadi apa yang digambarkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, sebagai “cangkerang kosong dengan kubur manusia”.
Walaupun sebahagiannya telah dibaik pulih, kebanyakan hospital itu masih terbiar dalam runtuhan.
Daripada 36 hospital di wilayah itu, hanya 18 masih berfungsi — itu pun secara terhad — setakat pertengahan Disember, dengan semua kecuali tiga hospital medan beroperasi di bawah kekangan serius.
Nnnnn
