KHAN YOUNIS – Kehidupan ratusan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat perang kian buruk apabila khemah-khemah pelarian di selatan Gaza dinaiki air dalam masa singkat, akibat hujan lebat.
Keadaan itu merosakkan bekalan makanan dan membasahkan pakaian serta selimut sedangkan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu selepas dua tahun pertempuran, krisis kemanusiaan di Gaza masih sangat serius. Kebanyakan pelarian kehilangan hampir segala-galanya.
Kebanyakan keluarga berhimpit di kem khemah yang dibina secara tergesa-gesa menggunakan kanvas atau plastik, dikelilingi lumpur dan air bertakung setiap kali hujan, dengan suhu malam di Gaza kebelakangan ini antara lapan hingga 12 darjah Celsius.
Hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah atau rosak akibat perang manakala kira-kira 1.5 juta daripada 2.2 juta penduduk Gaza kehilangan rumah.
Dalam pada itu, daripada lebih 300,000 khemah yang diminta bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan, hanya 60,000 diterima.
Sementara itu, menerusi platform X, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata cuaca buruk itu menambah penderitaan penduduk Gaza.
“Penduduk Gaza bertahan hidup dalam khemah sementara yang digenangi air serta di celah-celah runtuhan bangunan. Semua ini bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bekalan bantuan tidak dibenarkan masuk pada skala yang diperlukan,” tulisnya.
Nnnnn
