KUALA LUMPUR 5 Jun – Universiti Malaya (UM) berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dengan berada di tangga 60, menunjukkan satu lonjakan berbanding di kedudukan 65 pada tahun lalu.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025, lonjakan itu disebabkan oleh penunjuk Hasil Pekerjaan dan peningkatan dalam nisbah fakulti serta pelajar antarabangsa.
Menurut laporan berkenaan, Malaysia mempunyai 28 institusi pengajian tinggi yang berada dalam kedudukan berperingkat, dengan 14 sedang berusaha meningkatkan kedudukannya, lapan kekal stabil dan enam pada kedudukan yang jatuh.
Ia sekali gus memberikan kadar peningkatan keseluruhan sebanyak 29 peratus.
Naib Presiden Kanan QS, Ben Sowter, dalam kenyataan berkata, perjalanan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi bergantung kepada kualiti sistem pendidikannya.
Beliau berkata, dengan memberi tumpuan kepada membangunkan asas pendidikan yang kukuh di peringkat rendah dan menengah, Malaysia berupaya memupuk generasi pelajar universiti akan datang.
“Pengalaman pembelajaran mereka perlu disertakan sekali dengan kemahiran dan kecekapan, memupuk kemahiran teknikal dan manusia yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi global yang semakin berteraskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Malaysia katanya, mempunyai hab pendidikan yang semakin berkembang, bersaing secara aktif untuk mendapatkan sebahagian besar pelajar antarabangsa.
“Dengan lima universiti disenaraikan antara 100 terbaik dunia untuk penunjuk Nisbah Pelajar Antarabangsa dan empat universiti antara 200 terbaik untuk Nisbah Fakulti Antarabangsa, Malaysia sedang mengorak langkah besar ke arah matlamat untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025,” katanya.
Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada pada kedudukan 138 meningkat 21 anak tangga, diikuti Universiti Sains Malaysia (USM) berada pada kedudukan 146, Universiti Putra Malaysia (148), Universiti Teknologi Malaysia (181).
Universiti lain yang berada dalam senarai kedudukan ialah Taylor University di tangga 251, Universiti UCSI (265), Universiti Teknologi PETRONAS (269), Universiti Antarabangsa INTI (516), Universiti Sunway (539), Universiti Utara Malaysia (554), Universiti Pengurusan Sains (580), Universiti Teknologi MARA (587).
Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (611), Universiti Tenaga Nasional (641), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (661), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (741), Universiti Tunku Abdul Rahman (801) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (951).
Nnnn
