KUALA LUMPUR 24 Okt. – Larangan takbir dan menayang sepanduk kecaman kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Himpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada Ahad lalu tidak mewakili pendirian kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasutiuon Ismail, berkata tindakan itu adalah budi bicara penganjur dan dibuat dengan tujuan untuk membangkitkan semangat soladariti dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama.
“Soal dibenar atau tak dibenarkan takbir saya tak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir ertinya melaungkan kebesaran Allah. Tiada khilaf di antara kita.
“Hal ini adalah bagaimana penganjur (himpunan) itu mengikut budi bicara mereka dan kefahaman mereka. Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) boleh anjurkan 20,000 atau 30,000 esok, takbirlah. Kalau saya ada masa akan turut serta dan takbir sekuat-kuatnya,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) yang bertanyakan sama ada kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada menetapkan sebarang garis panduan melarang peserta himpunan untuk melaungkan takbir.
Saifuddin berkata, kerajaan sehingga kini kekal dengan pendirian untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kerjasama negara dengan Israel.
“Soal boleh atau tidak mengecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita juga jelas. Hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Netanyahu).
“Tapi kalau di sana himpunan dihadiri 300, 400 orang dianjurkan oleh satu pertubuhan dan kemudiannya kalau dia mengenakan apa-apa sekatan, ‘do and don’t’, itu harus dilihat secara fakta kejadian pada waktu itu.
“Ia tidak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini dan umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian,” katanya.
Semalam penganjur himpunan itu yang juga Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Dr Musa Mohd Nordin tampil memohon maaf berikutan penganjuran himpunan aman itu yang menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.
Menerusi ciapan di laman X menjelaskan, pihaknya hanya mengikuti garis panduan yang selaras dengan arahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.
“PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk mengambil tindakan pantas terhadap ucapan kebencian, poster dan ejen provokator yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan kemanusiaan dan aman kami.
“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami,” katanya dalam ciapan tersebut.
Dalam pada itu, Dr Musa turut menafikan dakwaan terdapat peserta dilabel sebagai ‘zionis’ kerana membawa plakad yang memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘syaitan’.
“Saya tidak melabelkannya (sebagai Zionis). Saya sebenarnya menjelaskan bahawa kita harus menghormati adab dan kesopanan perhimpunan kita, kita tidak sepatutnya ke tahap Zionis,” jelasnya.
Berhubung laungan takbir ‘Allahuakbar’ pula, beliau menegaskan perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana ramai tetamu jemputan turut melaungkannya ketika berucap termasuk Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
