Kekerapan LRT tiga minit waktu puncak

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dijangka mencapai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung bulan ini berbanding 3.8 minit pada ketika ini dan 4.4 minit pada Disember 2022.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, kekerapan itu berikutan pengoperasian tiga tren baharu di laluan itu bermula bulan lalu.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sudah melaksanakan beberapa usaha untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan tren di mana tiga tren empat gerabak (bagi laluan Kelana Jaya) memulakan operasi pada September lalu.

“Baki 16 tren lagi akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024 menerusi projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27),” katanya dalam jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Bagi laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang pula, MOT memaklumkan penggantian roda tren sedang dilaksanakan dan kekerapan tren pada waktu puncak dijangka bertambah baik dari enam minit kepada empat minit pada hujung Januari 2024.

Prasarana juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang termasuk program khas bagi membaik pulih komponen tren yang kerap mengalami masalah.

Related posts

Leave a Comment