PARIS – Tiada keperluan bagi Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran, selepas sekatan ekonomi terhadap negara itu berkesan dengan baik.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada sekutu Kumpulan Tujuh (G7) di Paris.
Bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7, Rubio berkata, sekatan ekonomi AS dan sekatan laut terhadap Iran berkesan “dengan begitu baik”, sehingga Presiden Donald Trump tidak perlu melancarkan operasi tempur berskala besar terhadap negara itu.
Katanya, tekanan ekonomi yang dikenakan Washington terhadap Tehran akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, sambil menegaskan bahawa AS masih terbuka untuk mencapai “perjanjian sebenar” dengan Iran.
Mengenai konflik Rusia-Ukraine, Rubio berkata matlamat akhirnya adalah memperluas rundingan tiga pihak yang membabitkan Rusia, AS dan Ukraine dengan penyertaan Eropah, kerana rakan kongsi Eropah “merupakan sebahagian daripada usaha menyelesaikan masalah ini untuk jangka panjang”.
Beliau menyifatkan hari pertama rundingan tiga pihak di Abu Dhabi sebagai “sangat produktif”, namun menegaskan “masih banyak usaha perlu dilakukan”.
