Jangkaan terbaik menang 21 hingga 22 kerusi

KUALA PILAH 31 Julai – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi dengan jangkaan terbaik 21 hingga 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN), Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa kempen serta prestasi gabungan berkenaan pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau bagaimanapun yakin, kepemimpinan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dengan rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH selama dua penggal memberikan kelebihan kepada gabungan itu.

“Kita cuba sedaya upaya untuk dapat minimum 19, dan kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat antara 21 hingga 22. Itu jangkaan terbaik kita.

Namun, kita percaya pada kebijaksanaan pengundi dan meneruskan kempen kerana kita melihat konsistensi sejak 2018,” katanya selepas menghadiri program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.

Mengulas dakwaan kononnya “gelombang biru” di Johor akan mempengaruhi keputusan PRU DN Negeri Sembilan, Amirudin berkata naratif itu sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mempengaruhi pengundi.

Beliau berkata PH sebaliknya akan terus mengetengahkan agenda Malaysia Madani serta perpaduan rakyat sebagai tawaran kepada pengundi.

“Sudah pasti itu cuba dicipta oleh pembangkang sekarang, tapi di sini kita mempunyai sejarah kepemimpinan dan juga tokoh besar sendiri.

“Kita akan cuba mengetengahkan solusi ataupun pandangan kita untuk mengetengahkan konteks MADANI, kesatuan rakyat sebagai solusi berbanding dengan retorika perpaduan mana-mana kaum,” katanya.

Related posts

Leave a Comment