WASHINGTON – Donald Trump mengesahkan telah bercakap dengan Presiden FIFA Gianni Infantino untuk meminta disemak.semula kad merah yang dilayangkan kepada penyerang Amerika Syarikat (AS) Folarin Balogun pada perlawanan Piala Dunia minggu lepas.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan beliau tidak percaya kekasaran telah berlaku, pada perlawanan menentang Bosnia dan Herzegovina.
“Saya meminta semakan semula kerana saya tidak fikir ia adalah satu kekasaran. Jadi, ya, saya meminta semakan semula oleh FIFA. Saya telah bercakap dengan seorang lelaki yang amat dihormati.” kata Trump kepada pemberita di White House.
Minggu lepas, Balogun dilayangkan kad merah secara terus selepas mengasari pemain Bosnia dan Herzegovina, Tarik Muharemovic, dalam perlawanan pusingan 32 yang menyaksikan AS menang 2-0.
Bagaimanapun pada Ahad, FIFA mengumumkan penggantungan Balogun telah ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama satu tahun, sekali gus membenarkan penyerang berusia 25 tahun itu beraksi dalam perlawanan pusingan 16 menentang Belgium di Seattle pada Isnin.
Persekutuan Bola Sepak Belgium pada Ahad menyatakan bahawa mereka “terkejut” dengan keputusan FIFA yang membenarkan Balogun beraksi dalam perlawanan menentang skuad kebangsaan Belgium itu, di sebalik kad merah yang diterimanya pada pusingan terdahulu.
Sementara itu, bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe menyifatkan seorang senator Paraguay sebagai “wanita keji” selepas ahli politik itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman susulan kekalahan Paraguay kepada Perancis.
Mbappe muncul menyempurnakan sepakan penalti yang memberikan kemenangan 1-0 ke atas Paraguay, Sabtu lalu, sekali gus memastikan kemaraan Les Bleus ke peringkat suku akhir.
Namun, keputusan itu mencetuskan kontroversi di luar padang apabila Senator Celeste Amarilla memuat naik kenyataan panjang di platform X yang mengandungi beberapa komen dianggap berbaur perkauman terhadap kapten Perancis itu.
Amarilla merujuk Mbappe sebagai “warganegara Cameroon yang dijajah yang berpura-pura menjadi orang Perancis”, selain menggelarnya seorang yang “kasar” serta mendakwa pemain Paraguay sepatutnya menamparnya selepas tamat perlawanan.
Kenyataan itu mengundang kecaman segera, termasuk daripada Mbappe sendiri yang mempertahankan maruahnya serta imej pasukan Paraguay.
“Puan Celeste Amarilla, anda seorang wanita yang keji dan tidak layak memegang jawatan anda. Anda tidak mewakili Paraguay,” tegas Mbappe menerusi media sosial.
Penyerang Real Madrid itu berkata, kenyataan berbau kebencian dan perkauman hanya menjejaskan reputasi Paraguay di mata dunia serta mengalihkan perhatian daripada pencapaian bersejarah skuad negara itu di kejohanan berkenaan.
Nnnnn
