Pas tidak pernah rugi dalam kerjasama

SEPANG 11 Jun – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, menyifatkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai satu kerjasama politik atau ta’awun siyasi paling longgar pernah terjalin.

Katanya, Pas mengadakan kerjasama dengan pelbagai nama dan pendekatan dalam Islam seperti tahaluf, isti‘anah, muwalah, ta‘awun dan lain-lain.

“Adapun kerjasama Pas yang terakhir adalah melalui ta‘awun siyasi, yang merupakan bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Bersatu Malaysia dan lain-lain bagi mengambil alih kerajaan menggunakan akuan berkanun (SD).

Langkah ini melalui proses yang betul, bukan yang dinamakan Langkah Sheraton yang pendek, yang kemudiannya diambil peluang oleh kalangan tertentu bagi menonjolkan diri seseorang,” katanya menerusi Minda Presiden Pas.

Mendedahkan pelbagai salah laku Bersatu sepanjang kerjasama dengan Pas, Abdul Hadi berkata, Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, bukan tujuan asalnya demi perpaduan umat.

Bersatu ingin menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam tanpa mengira kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan Pas yang meneroka perubahan politik dan membodohkan Pas dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrim.

Di samping itu, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.

“Ternyata apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri,” katanya.

Abdul Hadi juga mendakwa krisis dalaman yang parah dalam Bersatu berpunca perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan tidak mengikut proses disiplin bermoral sehingga sebahagian besar Ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama yang dikenali Pas telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

Di samping itu ada juga yang melompat keluar daripada parti dan apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya.

Hal ini termasuklah langkah yang tidak setia kawan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pas di Perlis sehingga menjatuhkan Menteri Besarnya.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD (akuan bersumpah) sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi,” katanya.

Susulan langkah oportunis pemimpin Bersatu yang didakwa mengganggu perjuangan asal penyatuan ummah, beliau berkata ia mendorong Pas wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangan berprinsip.

Untuk itu, katanya Pas cuba menyelami keadaan yang salah selain berusaha melakukan pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah.

Pada masa sama, beliau berkata Pas juga ada menegur perangai pemimpin Bersatu yang salah dalam mesyuarat, termasuk melalui pertemuan khusus dan peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, Pas terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum (PRU), pilihan raya kecil (PRK), dan pilihan raya negeri (PRN).

“Dalam kerjasama ta’awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya Pas tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan.

“Akhirnya, Majlis Syura Ulama, para ilmuwan dan pengamat politik ditugaskan supaya melakukan muhasabah, tabayyun dan kajian terperinci khususnya dari segi dasar hukum syariat dan maslahat politik,” katanya.

Setelah mengadakan perbincangan dengan pihak Bersatu dan mengadakan tabayyun perkara yang tersurat dan tersirat secara berdepan, maka Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat menerima pandangan Majlis Syura Ulama.

Pas membuat keputusan memberhentikan ta‘awun dengan Bersatu demi beristiqamah atas prinsip dan matlamat perjuangan Pas serta tidak menghabiskan masa dalam krisis yang tiada kaitan dengan Pas.

Abdul Hadi berkata, Pas juga terus bersikap terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip dan meneruskan perjalanan dengan beristiqamah, khususnya bagi menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan rakyat masyarakat majmuk yang lebih besar.

Menurut beliau lagi, Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan Bersatu walaupun telah mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak lain, mengorbankan kerusi dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus kerusi.

Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada Pas sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

“Pas juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada Pas. Inilah berkat beristiqamah dengan pertolongan Allah kerana keikhlasan para pejuangnya, walaupun terpaksa menanggung bebanan masalah pihak lain,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment