SEPANG 1 Jun – Perikatan Nasional (PN) akan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Pengerusinya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, PRN Johor bukan sekadar pertandingan politik, tetapi medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat terutama dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran serta masa depan negara.
“Kita mengambil maklum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN.
Kita menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli parti komponen PN memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi pilihan raya ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta tindakan bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas berkata, kerjasama semua pihak dan sokongan rakyat, PN akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih serta prihatin demi masa depan Johor dan negara yang lebih baik.
“Kita berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan.
“Semua jentera diminta menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berteraskan rumusan sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Pembubaran DUN diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, hari ini selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN Johor ke-15, Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi dan PN hanya memenangi tiga kerusi manakala Muda satu kerusi.
Nnnn
