Agong kecewa rasuah libatkan ATM

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sehingga melibatkan pegawai di peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera (PAT),” titah baginda.

Menurut Baginda, kes-kes rasuah yang terbongkar setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar dan menyatakan keyakinan bahawa masih terdapat banyak lagi kes yang belum didedahkan.

“Ini hanyalah ‘sekelumit daripada segunung’, atau  the tip of the iceberg; saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di jabatan kastam, imigresen, polis dan sebagainya, serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah baginda.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 hari ini baginda menegaskan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran demi menjamin masa depan negara.

Baginda turut menyatakan kebimbangan bahawa amalan rasuah juga boleh melibatkan jabatan dan agensi lain termasuk Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta institusi legislatif di peringkat negeri.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berterusan tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Baginda menyeru rakyat agar memainkan peranan sebagai mata-mata negara dengan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah kepada pihak berkuasa, sambil menekankan bahawa tindakan mesti diambil bukan sahaja terhadap penerima rasuah, malah terhadap pemberi serta ejen yang bersubahat.

Sementara itu, Sultan Ibrahim juga menarik perhatian ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai 2026 sebagai tahun permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Saya mahu rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam,” titah baginda sambil mengingatkan bahawa keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan bergantung kepada integriti semua pihak.

Tegas baginda,  segala perancangan pembangunan negara tidak akan sempurna sekiranya amalan rasuah terus berleluasa dalam pentadbiran dan sektor keselamatan.

“Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan yang dibuat, tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah sebut dahulu, yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya,” titah baginda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment