KUALA LUMPUR 26 Nov. – Wirawati Parti Bumiputera Perkasa (Putra) menuntut kerajaan melaporkan secara terperinci kos projek talian kecemasan Next Generation 999 (NG999) yang menelan belanja sebanyak RM1.25 bilion.
Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin berkata, laporan itu hebdalah meliputi pelbagai aspek termasuk pengoperasian, laporan tahunan atau audit prestasi, pelan penambahbaikan sistem kecemasan bertaraf global dan audit bebas Parlimen.
“Projek ini sepatutnya menjadi tulang belakang keselamatan negara, namun sehingga hari ini, kerajaan masih gagal memberikan penjelasan penuh dan meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan telah menjelaskan bahawa angka RM1.25 bilion bukan kos membangunkan aplikasi SaveME999, tetapi meliputi seluruh ekosistem NG999 untuk tempoh 11 tahun tetapi penjelasan tersebut tidak memadai.
Katanya, kerajaan harus menjawab persoalan asas tetapi kritikal, contohnya mengapa tiada pecahan kos RM1.25 bilion diumumkan kepada rakyat.
Menurut beliau laporan media menunjukkan kos operasi SaveME999 dan aplikasi Responder hanya sekitar RM880,000 setahun, bermaksud kurang daripada 1 peratus kos keseluruhan projek.
“Apakah KPI sistem NG999 sepanjang tempoh pelaksanaannya, setakat ini tiada laporan audit penuh dan rasmi mengenai kadar masa respons ambulans, uptime sistem, keberkesanan integrasi agensi dan prestasi keseluruhan sistem,” katanya.
Beliau berkata, negara seperti UK (ESN), Australia (ACMA) dan Singapura (SCDF) menerbitkan laporan prestasi secara berkala.
Justeru Malaysia juga perlu keluarkan laporan audit penuh sebelum menambah baik sistem supaya tiada kelompongan dalam pembangunan dan ia akan lebih berintegriti, berasaskan data serta selaras dengan standard antarabangsa.
“Rakyat tidak membantah pembangunan. Rakyat hanya bertanya RM1.25 bilion itu, apa yang kami dapat?
Walaupun kosnya mencecah bilion ringgit, beliau mendakwa ambulans masih lambat, operator masih tanya “di mana lokasi?”, tiada _real-time ambulance tracking, tiada video , aplikasi SaveME999 tidak popular dan tidak mesra pengguna dan koordinasi antara agensi kecemasan masih manual dan tidak lancar
“Jika Grab boleh menjejak lokasi secara real-time, mengapa NG999 yang bernilai RM1.25 bilion tidak boleh?,” soalnya yang mendakwa NG999 ketinggalan jauh berbanding standard global.
Katanya Wirawati Putra menyampaikan tuntutan ini bukan sebagai ahli politik semata-mata, tetapi sebagai anak muda Malaysia yang percaya bahawa negara ini mampu melakukan jauh lebih baik dengan segala kepakaran yang ada.
“RM1.25 bilion ialah amanah rakyat. Keselamatan nyawa bukan sekadar angka. Malaysia mesti kembali ke landasan yang betul, dengan *ketelusan* (transparency), *kecekapan* (competence) dan *keberanian* (bravery),” katanya.
