Larangan jual, ambil daging anjing

JAKARTA – Bagi mencegah penularan penyakit rabies, pihak berkuasa Jakarta mengharamkan penjualan dan pengambilan daging anjing, kucing, dan kelawar untuk tujuan makanan.

Gabenor Jakarta, Pramono Anung dalam kenyataan di media sosial, berkata beliau sudah menandatangani peraturan yang melarang penjualan haiwan pembawa penyakit rabies itu.

Beliau berkata, larangan itu terpakai kepada ‘haiwan hidup, daging, atau produk lain, sama ada mentah atau diproses’ dan melarang sebarang ‘aktiviti berkaitan… haiwan pembawa rabies yang bertujuan untuk makanan’.

Rabies atau Hydrophobia ialah sejenis penyakit virus yang sangat serius dan boleh membawa maut yang menyerang sistem saraf pusat manusia dan mamalia.

Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan 25 kematian antara Januari dan Mac lalu, manakala laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), puluhan rakyat Indonesia meninggal dunia akibat rabies setiap tahun.

Walaupun anjing secara amnya dilihat sebagai najis dan jarang dijadikan haiwan peliharaan di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam, daging anjing kekal sebagai makanan istimewa dalam kalangan sesetengah kaum di negara itu.

Sementara itu, larangan tersebut disifatkan sebagai kemenangan besar buat aktivis hak haiwan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment