DAP dukacita, Wanita PKR kecewa

KUALA LUMPUR 2 Mac – DAP dan Wanita PKR dukacita serta kecewa apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, kedua-dua pihak berpendapat rakyat berhak mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen yang tidak mendukung RUU ini kerana ia mencerminkan sikap tidak bersama dalam agenda reformasi institusi dalam negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan rasa amat dukacita berkata DAP berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi dengan semua 40 Ahli Parlimen parti itu hadir bagi menyokong RUU berkenaan.

“Untuk pindaan ini diluluskan, ia memerlukan sokongan dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen hadir secara fizikal. Keputusan yang menyokong ialah 146 iaitu kurang dua undi untuk mencapai dua pertiga.

“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-Ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang,” katanya Menteri Pengangkutan itu dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat  Johari Abdul mengumumkan undi belah bahagian menyaksikan 146 ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, berkata keputusan sebahagian Ahli Parlimen yang tidak menyokong pindaan itu di Dewan Rakyat hari ini, disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap usaha mereformasikan institusi negara.

Katanya, Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU itu wajar ditolak sepenuhnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Wanita PKR menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan meluluskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat. RUU berkenaan adalah sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang bertujuan memperkukuh amalan demokrasi, tatakelola dan tadbir urus negara.

Rakyat berhak mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen yang tidak mendukung RUU ini kerana ia mencerminkan sikap tidak bersama dalam agenda reformasi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, wanita PKR menyatakan sokongan penuh terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta agenda kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh tadbir urus negara demi manfaat seluruh rakyat.

Related posts

Leave a Comment