Polis larang Perhimpunan GARAH

KUALA LUMPUR 7 Feb . – Polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini, diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Fadil Marsus, dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan menyeluruh berdasarkan risikan keselamatan yang dijalankan pihak polis.

Polis juga menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan berhubung kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan mereka.

“Maklumat bebas juga diperoleh akan berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan yang dijangka dipenuhi orang ramai  yang datang untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada pukul 8 malam di lokasi itu.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkaitan termasuk pemilik premis di sekitar kawasan perhimpunan yang dicadangkan.

“Ketua Polis Daerah Dang Wangi turut mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur perhimpunan GARAH pada 5 Februari bagi meneliti perkara berkenaan.

Semalam, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan berhubung kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang berada di kawasan itu,” katanya.

Justeru, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirkan diri ke perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.

“Pihak polis akan memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa diutamakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 141 NGO dijangka menyertai himpunan itu

Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth mengesahkan, polis telah dimaklumkan tentang perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Related posts

Leave a Comment