Hajiji kekal Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU 30 Nov . – Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri, Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini, pagi ini.

Istiadat itu berlangsung kira-kira pukul 3 pagi selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuainya memenangi 29 kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 semalam.

Hajiji, 70, yang menyifatkan kemenangan GRS sebagai kemenangan rakyat mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas mandat baharu diberikan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan pentadbiran negeri.

“Kemenangan ini milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah lebih cerah.

“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.

Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya dalam kenyataan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama meraikan kemenangan GRS kali ini, sebagai permulaan kepada bab baharu yang dipenuhi dengan tujuan dan tekad untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Beliau berkata, sejak awal komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan menerusi agenda pembangunan holistik dan inklusif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menggerakkan pembangunan bermakna serta membina jambatan menyatukan dan bukan memisahkan.

“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United),” katanya.

Hajiji berkata komitmen penuh gabungan parti tempatan Sabah itu adalah untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.

“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman bagi penggal kesembilan.

Beliau juga mahu semua rakyat Sabah bersama-sama kerajaan negeri, untuk terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan memacu kemajuan negeri dengan perpaduan sebagai kekuatan, bagi memastikan kemenangan tersebut benar-benar membawa makna.

“Kepada semua pihak lawan, kita telah bertanding bersama-sama sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.

“Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif, demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment