KKM rekod kematian pertama Covid-19 tahun ini

PUTRAJAYA 19 Jun – Satu kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24), kes pertama tahun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan, ia membabitkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak kedua.

“Situasi ini membabitkan penurunan ketara berbanding 57 kematian Covid-19 pada 2024 dengan kematian erakhir sebelum ini pada 26 Mei 2024. Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan langkah kawalan oleh KKM,” kata kenyataan itu.

KKM memaklumkan kes Covid-19 meningkat 68 peratus iaitu kepada 3,379 kes pada ME24 berbanding 2,011 pada minggu sebelumnya.

Menurut KKM, situasi semasa Covid-19 dalam negara kekal terkawal dan di bawah paras amaran kebangsaan, hasil pemantauan berterusan dan intervensi kesihatan awam yang berkesan.

KKM juga memaklumkan 21,738 kes Covid-19 dilaporkan secara kumulatif sehingga ME24 dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes.

Pada ME24, sebanyak enam kes Covid-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi iaitu golongan rentan dengan penyakit sedia ada seperti hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan sindrom down.

Semua kes telah menerima rawatan rapi dengan pemantauan profesional kesihatan dan dibenarkan keluar dari ICU iaitu empat kes dibenarkan pulang ke rumah dan dua lagi dipindahkan ke wad biasa.

Related posts

Leave a Comment