SAYA terpanggil untuk mengulas isu main mercun di kawasan insiden letupan paip gas di Putra Heights. Reaksi yang diterima menjurus kepada salah faham dan memperlekehkan kenyataan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.
Lebih malang lagi, ada juga orang politik yang berjawatan penting tumpang semangkuk ‘membakar’ sentimen ramai untuk memperkecilkan ketelusan pihak polis ‘mendedahkan’ laporan yang diterima.
Ada orang politik siap bentangkan berapa banyak emoji ketawa dan berapa pula yang like susulan isu itu dijadikan tajuk berita. Sepatutnya sebagai ahli politik yang bijak pandai, perbetulkan persepsi orang.
Begitulah jadinya apabila orang hanya membaca tajuk, tidak membaca keseluruhan kenyataan atau berita yang dilaporkan. Akhirnya ia memaparkan kebodohan diri sendiri tetapi pada masa sama memperkecilkan pasukan polis.
Bukan mahu mempertahan atau memperlekeh mana-mana pihak tetapi eloklah kita memberi ruang sucukupnya untuk polis memaklumkan apa maklumat yang diterima berhubung tragedi 2 Syawal itu.
Janganlah apabila polis memberi maklumat laporan ‘tidak masuk akal’ yang diterima , kita ketawa dan apabila polis tidak bercakap secara telus kita marah. Sebenarnya apa yang masyarakat mahu?
Polis boleh sahaja mengenepikan laporan main mercun itu tetapi mungkin untuk menunjukkan ketelusan, maka diceritakan juga kepada media laporan yang diterima oleh masyarakat tetapi akhirnya disalah erti oleh pembaca.
Hakikatnya apa yang ingin disampaikan, sehingga tengah hari semalam, polis menerima 642 laporan atau maklumat berhubung insiden letupan paip gas termasuk yang mendakwa ada individu bermain mercun berhampiran kawasan insiden.
Menurut laporan media, Hussein memberitahu, pengadu mendakwa individu itu bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan.
Bagaimanapun Hussein berkata, pihak polis tidak nampak kejadian pada waktu itu boleh membabitkan letupan pada pagi berkenaan tetapi polis masih menunggu siasatan penuh.
“Saya cuma maklum laporan yang polis terima (setakat ini). Jadi kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. Yang ini maklumat yang mereka nampak (pengadu),” katanya
Itulah yang harus difahami. Polis layan semua laporan yang diterima untuk membantu siasatan tetapi tidak semestinya laporan itu terkait dengan tragedi.
Masihkah kita ingat tragedi kehilangan pesawat MH370 ? Ingat tak lagi pelbagai laporan diterima mengenai orang ramai melihat pesawat itu terbang di sana sini dan sebagainya. Logik atau tidak, pihak berkuasa terima laporan itu.
Itu adalah laporan daripada orang ramai. Mahu tidak mahu polis akan mengambil laporan itu dan terserah untuk melakukan siasatan atau membuat kesimpulan laporan berkenaan tidak relevan.
Justeru janganlah terlalu cepat membuat kesimpulan sehingga pasukan polis dipandang rendah. Teguran biarlah ada asasnya. Lain kali baca laporan atau berita sepenuhnya. Jangan sekadar tajuk.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Jangan main mercun. Maaf zahir batin.