GUA MUSANG 4 Ogos – Pas dan Bersatu ibarat dua beradik seperti kakak dan adik dalam keluarga Perikatan Nasional (PN), yang akan saling tolong menolong, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.
Justeru beliau menegaskan, tidak timbul sebarang isu pemilihan calon Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.
Katanya, pucuk pimpinan parti sendiri merestui Mohd Rizwadi keluar daripada parti untuk menyertai Bersatu dan bertanding pada PRK itu menggunakan logo Pas.
“Sekarang ini ramai pihak yang memainkan isu calon Bersatu adalah orang Pas. Apa yang saya boleh katakan, Pas dan Bersatu ibarat dua beradik dalam keluarga Perikatan Nasional (PN).
“PAS adalah kakak, manakala Bersatu adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik (Bersatu) mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta bantuan anak kakaknya (Pas).
Manakala bagi pihak kakak (Pas), sudah tentu dia akan membantu apabila adiknya meminta pertolongan. Situasi inilah yang berlaku di PRK DUN Nenggiri dimana adik beradik saling tolong menolong dan ianya tidak perlu dijadikan isu,” katanya seperti dilaporkan BH.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Bertam Lama, di sini, malam tadi yang turut dihadiri , Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihak tertentu sengaja memainkan isu calon memandangkan tiada isu lain yang boleh dibangkitkan.
“Kita pimpinan Pas sudah merestui Mohd Rizwadi atau Ustaz Wadi menyertai Bersatu dan menjadi calon di PRK Nenggiri memandangkan kami adalah adik beradik,” katanya.
