Isunya kesan terhadap rantaian ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Mei – Isu pokok yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi, yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.

Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin berkata, pihaknya mengakui pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.

“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari “kais pagi, makan pagi” mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu menjawab kenyataan balas Anwar di Tokyo selepas Hamzah mendakwa pengumuman Anwar menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta gagal menyatakan secara tepat bila subsidi akan dihapuskan.

Anwar menjelaskan penyasaran subsidi diesel bukanlah bertujuan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi bahan bakar berkenaan.

“Mengapa dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa? Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing.

“Diesel tidak digunakan majoriti rakyat dan bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu,” katanya membidas kenyataan Hamzah yang mengkritik penyasaran subsidi itu.

Berikut kenyataan penuh Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional.

KENYATAAN MEDIA

1. Di Tokyo, Perdana Menteri nampaknya nipis telinga dengan teguran saya berhubung keputusan kerajaan menyasarkan pemberian subsidi bahan api tempoh hari hingga beliau melakukan serangan politik terhadap Perikatan Nasional.

2. Rupanya, dalam pemikiran Perdana Menteri, perkara yang menggusarkan rakyat adalah golongan ”maha kaya” dan warga asing. Padahal, isu pokok yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi, yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.

3. Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun. Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari “kais pagi, makan pagi” mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya.

4. Sebab itu, sebagai Perdana Menteri, janganlah buat kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan Harian Metro. Harga cili padi naik ke RM28/kg berbanding RM18 sebelum ini. Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini.

5. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain. Jangkaan seorang Pensyarah Kanan Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harga barangan akan naik antara 3 hingga 5 peratus susulan pemotongan subsidi minyak. Bila itu berlaku, siapa mangsanya? Fikir-fikirkanlah.

6. Sebenarnya kita tidak perlu formula rumit pun untuk faham kesusahan yang akan rakyat hadapi. Peniaga kecil mana pergi berniaga guna kenderaan bermotor diesel dalam kalangan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri?

7. Apakah peniaga kecil seperti Makcik Kiah selepas ini perlu mengangkut goreng pisang jualannya menaiki bas awam atau teksi jika mahu menikmati subsidi bersasar? Bila agak-agaknya Menteri Kewangan mahu memperincikan mekanisme ini kepada Perdana Menteri?

8. Padahal, kali pertama rasionalisasi minyak ini dibentangkan adalah dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu lagi. Tapi, setelah 8 bulan, masih tiada pengumuman daripada mana-mana menteri mengenai hal mekanisme penyasaran, mahupun pemberian subsidi baharu.

9. Sejak merdeka, belum pernah rakyat dipaksa menunggu sehingga 8 bulan untuk mendapatkan penjelasan berhubung mekanisme pelaksanaan satu dasar yang amat penting terhadap ekonomi negara melibatkan perbelanjaan harian rakyat. Jangan sampai rakyat tidak lagi percaya dengan perutusan Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi selepas ini.

10. Teguran serta pandangan yang diberikan rakyat adalah sesuatu yang ikhlas kerana rakyat hanya mahukan Malaysia ini berkembang menjadi sebuah sebuah negara yang aman dan makmur.

11. Apa yang pasti, rakyat tidak lupa bagaimana Perdana Menteri berjanji untuk menurunkan harga minyak sebelum beliau berkuasa. Kegagalan menunaikan janji ini takkan dapat ditutup dengan retorik dan serangan politik semata-mata.

12. Dalam hal ini, dasar Perikatan Nasional adalah jelas iaitu kami akan sentiasa membela rakyat dan akan terus berusaha untuk membesarkan kek ekonomi negara, agar kemakmuran dapat dinikmati bersama.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN

KETUA PEMBANGKANG

25 Mei 2024 – Kuala Lumpur

Related posts

Leave a Comment