PUTRAJAYA 15 Mei – Tidak ada sebarang perbincangan pada peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atau Kabinet mengenai cadangan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir berkata, seperti ditegaskan 2 Mei lalu, KPT tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang dimainkan pada hari ini.
“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 (Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mana UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.
“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera
sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.” katanya.
Semalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM dalam kenyataannya menegaskan kesemua 214 MPP UiTM yang berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perkara 153).
Barisan MPP UiTM menegaskan pendirian menyokong agar UiTM kekal kepada status quo mengikut objektif asal penubuhan UiTM untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu.
Justeru MPP melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah di seluruh cawangan UiTM mulai semalam hingga 16 Mei dan menyeru mahasiswa,mahasiswi memakai pakaian berwarna hitam pada Khamis dan menyebarkan penggunaan #MahasiswaUiTMBantah bagi membangkang pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera.
Nnnn
