SEPANG 3 Ogos – Langkah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd melaksanakan Program Umrah Asnaf adalah sebagai tanda kesyukuran syarikat berkongsi keuntungan dengan golongan yang tidak berkemampuan untuk menunaikan umrah.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Md. Daud Che Ngah berkata pihaknya bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya mewujudkan program yang dapat membantu masyarakat termasuk umrah.
Beliau berharap melalui program ini, golongan asnaf juga berpeluang menunaikan umrah seperti orang lain yang berkemampuan.
Md Daud berkata demikian pada majlis mengucapkan selamat berangkat kepada 84 orang asnaf serta petugas yang akan mengiringi jemaah Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0. di KLIA semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Izzati Ibrahim.
Ini kali pertama Andalusia bekerjasama dengan kerajaan Negeri Pahang di mana pihak berkuasa agama negeri diberi tanggungjawab mengemukakan asnaf yang terpilih kepada Andalusia.
Menurut Md Daud, bagi mengelakkan pilih kasih, pemilihan golongan asnaf tersebut tidak dilakukan Andalusia sebaliknya dibuat oleh pihak kerajaan Pahang sendiri yang lebih dekat dengan golongan ini.
Sebelum ini Program Umrah Asnaf yang bermula pada tahun 2016 dilakukan secara persendirian oleh syarikat tetapi pada program 2018, 2019, Andalusia bekerjasama dengan pihak MOTAC dan JKM di bawah program CSR NBOS – lautan biru.
Menurut Md Daud, kos keseluruhan perbelanjaan yang ditaja oleh Andalusia bagi program tersebut mencecah RM900,000 termasuk kos perbelanjaan untuk staf Andalusia yang turut serta mengiringi jemaah berkenaan.
Berhubung penjagaan jemaah yang kebanyakannya warga emas, Izzati berkata, program umrah asnaf kali ini agak berlainan dengan menetapkan seorang petugas akan menjaga 10 orang jemaah.
“Ini berbeza dengan jemaah-jemaah biasa yang mana sebelum ini seorang petugas akan menjaga 40 orang jemaah kerana ini bertujuan untuk menjaga golongan asnaf ini dengan lebih rapi ketika menunaikan umrah nanti,” katanya.
Sepanjang program umrah itu, mereka yang dibahagikan kepada dua bas akan dibimbing oleh dua p orang mutawif iaitu Yusof Badu dan Aminuddin Yusof.
Sementara itu, beberapa orang jemaah yang ditemui menyatakan rasa syukur kerana dipilih menyertai program umrah berkenaan.
“Memang tidak menyangka saya akan dipilih,” kata Abdul Sukor Abdul Hamid, 65,
seorang pemandu van jenazah pertubuhan bukan kerajaan.
Beliau berkata, sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan bercita-cita menunaikan umrah tetapi akhirnya Allah SWT yang menentukan segala-galanya walaupun menghadapi masalah kewangan.
“Semoga murah rezeki Andalusia,” katanya.
Bagi Kamal Rafidi Mohd Zakaria, 64, beliau juga tidak menduga dipilih selepas namanya disenarai pendek dalam kalangan lima orang yang dipilih oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Bekas pekerja Alam Flora itu memberitahu, semua urusan termasuk menyediakan pasport diurus dengan baik dalam tempoh yang singkat.
“Saya berharap dapat menunaikan umrah yang mabrur dan dapat beribadah kepada Allah SWT dengan baik lebih-lebih lagi dengan usia saya yang ada sekarang,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Abdullah Daud, 63, juga tidak menduga akan terpilih menyertai program asnaf itu tetapi tetap bersyukur kerana mendapat peluang untuk menjejakkan kaki di dua Tanah Suci.
Beliau berharap, ibadah ini akan dapat membantu beliau melakukan ibadah dengan lebih baik.
