6,858 dos pertama hari terakhir vaksin percuma

PUTRAJAYA 1 Jun – Sebanyak 10,191 dos untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini diberikan semalam, hari terakhir vaksin percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Daripada jumlah itu, 6,858 adalah dos pertama yang menjadikan sejumlah 1,727,791 atau 48.6 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat semalam.

Pada masa yang sama, 3,333 dos kedua diberikan membawa kepada sejumlah 1,176,530 atau 33.1 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini melengkapkan vaksinasi mereka.

Untuk rekod, PICKids yang memberikan vaksinasi secara percuma kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun berakhir semalam.

Mulai hari ini, kanak-kanak dalam lingkungan usia itu perlu mendapatkan vaksin Covid-19 yang ditawarkan di pasaran swasta secara berbayar.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022, akibat jangkitan Covid-19.

Sementara itu berdasarkan data menerusi laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 2,914,167 atau 93.7 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun, lengkap divaksin, manakala 3,010,754 atau 96.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 16,098,582 atau 68.4 peratus orang dewasa pula telah menerima suntikan dos penggalak, 22,974,695 atau 97.6 peratus lengkap dua dos suntikan vaksin dan 23,251,418 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 13,302 dos harian diberikan semalam meliputi 7,404 dos pertama, 3,810 dos kedua dan 2,088 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 70,939,755.

Related posts

Leave a Comment