Imbas suhu, buku rekod mansuh

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Mulai Jumaat ini, tiada lagi keperluan untuk melakukan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis akan dimansuhkan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, keputusan memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) itu dibuat pada Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan pemansuhan ini, pemilik premis tidak lagi diwajibkan menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu masuk premis masing-masing.

“Namun, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.

“Bagaimanapun, sekiranya pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mengenai pilihan individu terutama warga emas tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera, Hishammuddin berkata, pemansuhan berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan negara bergerak ke hadapan.

“Kalau kita baca buku rekod, macam-macam contengan ada, ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Jadi untuk bergerak ke hadapan lebih balik kita tumpukan tujuh tonggak seperti disebut sebelum ini.

Kalau kita masih dalam takuk dahulu, pada masa sama kita lihat ke hadapan dengan pendekatan baharu, akhirnya orang akan keliru.

“Jadi suhu badan dan buku itu tidak menjadi pertimbangan kita lagi,” katanya.

Tujuh tonggak yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i.  Pematuhan satu prosedur operasi standard (SOP)  umum dan sembilan garis panduan;

ii. Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System – HAS);

iii. National Testing Strateg;

iv. TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek);

v. Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support);

vi. Pembukaan Sempadan Negara Secara Berperingkat; dan

vii. Duta-Duta Pemerkasaan Komuniti

Related posts

Leave a Comment