Jumlah kes sembuh atasi positif

PUTRAJAYA 7 Sept. – Kes sembuh Covid-19 hari ini merekodkan 18,902 kes menjadikan jumlah keseluruhan 1,609,930 sekaligus mengatasi jumlah kes positif yang direkodkan hari ini sebanyak 18,547 kes .

Daripada jumlah kes positif hari ini, 18,529 kes tempatan melibatkan 16,264 warganegara dan 2,265 bukan warganegara manakala 18 kes import melibatkan tujuh warganegara dan 11 bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata,jumlah kumulatif kes pula meningkat kepada 1,880,734 dengan kes aktif sebanyak 252,002 kes.

Sebanyak 1,318 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang melibatkan 977 kes Covid-19 dan 341 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan.

Sebanyak 735 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 447 kes Covid-19 dan 288 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan.

Sementara itu sebanyak 98.3 peratus atau 18,239 daripada 18,547 kes Covid-19 baharu yang direkodkan hari ini merupakan pesakit kategori satu dan dua.

Daripada jumlah itu, sebanyak 66.8 peratus tidak pernah menerima vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

Daripada pecahan itu, sebanyak 8,088 bersamaan 44.4 peratus tidak pernah divaksinasi, manakala 4,088 bersamaan 22.4 peratus tidak lengkap divaksinasi.

Hanya 33.2 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Seramai 308 pesakit adalah dalam kategori tiga, empat dan lima dan sebanyak 77.6 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi.

Daripada pecahan itu, 168 pesakit bersamaan 54.5 peratus tidak pernah divaksinasi, 71 bersamaan 23.1 peratus pula tidak lengkap divaksinasi dan hanya 22.4 peratus sudah lengkap divaksinasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 39 kluster baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif 1,465.

Johor mencatatkan kluster tertinggi iaitu sembilan, diikuti Pahang dan Sarawak masing-masing lima, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang pula masing-masing empat dan dua kluster baharu turut direkodkan di Melaka, diikuti Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur masing-masing satu kluster.

Daripada jumlah kluster tersebut, sebanyak 23 kluster tempat kerja, 13 komuniti dan masing masing satu kluster Pusat Tahanan, Kumpulan Berisiko Tinggi dan Pendidikan.

Sehingga kini, 3,495 kluster telah tamat manakala jumlah keseluruhan kluster direkodkan di negara ini sebanyak 4,960 kluster

Related posts

Leave a Comment