Arahan baharu jika belum vaksin

PENJAWAT awam di Amerika Syarikat (AS) perlu membuktikan mereka sudah divaksinasi, dan jika belum, wajib melakukan beberapa perkara termasuk mengenakan pelitup muka dan menjalani ujian saringan setiap minggu.

Itu peraturan baharu yang diumumkan Presiden Joe Biden terhadap penjawat awam dan kontraktor selepas AS terus mencatatkan peningkatan kes dan kadar kematian terutamanya dalam kalangan mereka yang belum menerima vaksin.

Jelas Biden, peraturan baharu lebih ketat itu adalah bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan petugas pentadbiran awam meningkat dan dijadikan sebagai teladan kepada syarikat swasta.

Dan dengan keputusan itu, semua petugas sektor awam dan pelawat bangunan awam perlu melakukan langkah sama.

Biden mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa penggunaan pelitup muka bukanlah kenyataan politik, tetapi ia adalah untuk melindungi diri dan orang lain.

“Menggunakan pelitup muka adalah langkah perlindungan diri seseorang dalam mengekang penularan Covid-19.

“Tetapi jangan silap, vaksin adalah langkah terbaik bagi memastikan diri anda tidak mengalami simptom kronik akibat Covid-19, ia perisai terbaik.

“Dan anda tahu bagaimana kita boleh mengalahkan virus ini? Kita perlu pastikan lebih ramai divaksinasi,” katanya di Washington DC semalam.

Bagaimanapun, arahan mengambil vaksin tidak diwajibkan terhadap penjawat awam di AS.

Namun, pentadbiran Biden akan memastikan mereka yang tidak menerima vaksin berdepan beberapa peraturan dan sekatan.

Related posts

Leave a Comment