COVID-19 TIDAK PEDULI KEKEBALAN ‘DI SITU’

WAKIL rakyat di situ memang kebal ! SOP atau prosedur operasi standard seolah-olah dipandang ‘sebelah mata’. Timbul persoalan dalam kalangan rakyat, Kuala Lumpur dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara tetapi ada sekelompok insan yang boleh bersemuka secara fizikal untuk mesyuarat.

Tetapi disebabkan kekebalan, tidak ada pula wakil rakyat atau orang politik, atau NGO yang buat aduan di situ sedang berlaku ‘pelanggaran’ SOP seperti aduan wakil rakyat makan durian, wakil rakyat rentas negeri, wakil rakyat makan di restoran, wakil rakyat tidak imbas MySejahtera, wakil rakyat tidak pakai pelitup muka, wakil rakyat berjoging dan pelbagai lagi.

Begitulah keistimewaan wakil rakyat khususnya di situ. Maklumlah mereka diberi amanah untuk bercakap mengenai masalah rakyat. Di situlah satu-satunya tempat untuk wakil rakyat bersuara. Justeru masa yang singkat memang tidak cukup. Mungkin diberi sebulan pun belum tentu cukup untuk bercakap pelbagai masalah rakyat dan ‘masalah wakil rakyat’.

Mungkin disebabkan itulah, ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengajak wakil rakyat menghadiahkan al-Fatihah dan bertafakur atas kematian pesakit Covid-19, ada dalam kalangan mereka masih riuh rendah untuk bercakap atas nama peraturan mesyuarat atau minta penjelasan. Agaknya disebabkan dah lama tidak bercakap di situ.

Sebagai orang politik, pastinya ada sahaja yang tidak kena. Di sana tidak betul, di sini tidak betul. Di sana salah di sini salah. Semuanya serba salah, serba tak kena.

Apa pun diharapkan tidak ada kluster baharu di situ.

Menurut Speaker di situ, Azhar Azizan Harun, semasa mempengerusikan sidang khas pada 28 Julai, sekurang-kurangnya empat lagi kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di kawasan itu.

“Kita pun sudah tidak menuruti nasihat Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) yang susah payah datang ke (situ), beri penekanan.

Kalau mahu ikut nasihat beliau, sidang kita sehingga jam 2 petang saja. Sebab beliau amat gusar dan bimbang,” katanya.

Nampaknya KP Kesihatan sudah beri nasihat. Malahan jika diikutkan tak boleh langsung. Tetapi kerana mereka orang politik, nasihat itu mungkin tidak terpakai apabila nasihat ‘tidak memihak’ kepada mereka.

Azhar Azizan merujuk permintaan wakil rakyat supaya lanjutan masa diberikan bagi membolehkan lebih ramai berbahas.

“Semalam dengan hari ini saja, kita sudah ada tiga atau empat kes. Semalam dengan hari ini. Jadi, risiko agak tinggi. Sebab itu saya tetapkan jam 5.30 itu, untuk beri peluang kepada semua berbahas,” kata Azhar.

Pada Isnin, hari pertama persidangan dan Selasa, sidang khas dilanjutkan selama 15 minit sehingga 5.45 petang bagi membolehkan wakil rakyat bertanyakan soalan tambahan, ketika menteri menjawab di sebelah petang.

Azhar juga menasihati semua wakil rakyat patuh kepada SOP ditetapkan sepanjang berada di situ serta menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

“Sebenarnya kita sebagai Ahli (di situ)  perlu beri contoh kepada rakyat. Sekarang ini sudah ada orang ketegorikan komuniti kayangan dan bukan kayangan. Jadi sebenarnya, amat penting bagi kita memenuhi dan mematuhi semua SOP yang dikenakan secara ketat sekarang ini.

“Dalam kawasan ini (Kuala Lumpur) pun masih fasa satu, mesyuarat secara fizikal pun tak boleh sebenarnya.

“Jadi, walaupun bebas tapi kita juga perlu memberikan gambaran yang baik kepada seluruh rakyat bahawa peraturan itu mesti dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat hanya mempunyai kekebalan untuk bercakap di dalam Dewan  kerana ia dijamin undang-undang, namun jangkitan Covid-19 tidak kebal kepada sesiapa.

Apa pun semoga ada tambah baik dalam usaha wakil rakyat untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 yang semakin mengganas ini. Semoga ada cadangan bernas diberi untuk membebaskan rakyat yang sedang dibelenggu Covid-19.

(Foto hiasan)

Related posts

Leave a Comment