LABUAN 27 Julai – Wilayah Persekutuan Labuan telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ini bermakna Labuan selesai memvaksinasi penuh 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu sebagai Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.
“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail.
Beliau berkata, pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).
Katanya, jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari.
