MAIPk salur dana RM14.6 juta

IPOH 10 Jun – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan dana khas bantuan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM 14.6 juta, yang disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dana khas itu bertujuan membantu mereka yang terjejas, susulan sekatan yang dikenakan di bawah PKP 3.0.

Menurut Yang Dipertua MAIPk, Mohd Annuar Zaini, turut diumumkan bantuan pakej tablet dan data internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian dan bagi pelajar sekolah berjumlah RM1.5 juta.

Katanya, dana itu antara lain membabitkan bantuan kelangsungan hidup untuk meringankan kesulitan yang sedang dihadapi rakyat jelata yang kehilangan sumber pendapatan.

Selain itu, ia turut melibatkan tajaan pembelian peralatan rawatan, bantuan kepada pelajar di sekolah/pusat tahfiz, institut pengajian tinggi dan di luar negara, peruntukan untuk kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan.

Bantuan kepada rumah-rumah anak yatim, rumah orang tua, warga emas dan pusat gelandangan serta peruntukan untuk mempercepatkan program vaksinasi kepada kumpulan sasar yang perlu diutamakan.

Mohd Annuar dalam kenyataan berkata,  Sultan Perak memahami tugas berat dihadapi para petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak.

Selain itu, baginda turut peka terhadap kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan dan menitahkan MAIPk menyediakan dana khas bantuan untuk membiayai keperluan pihak yang berkenaan.

“Bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta untuk ketua isi rumah (KIR) dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab yang munasabah.

“Tajaan peralatan kesihatan dan perubatan RM606,000 berbentuk peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan.

“Sumbangan untuk petugas barisan hadapan Covid-19, RM400,000 disalurkan melalui agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas barisan hadapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment