Sultan Kelantan bimbang peningkatan kes

KOTA BHARU 6 Mei – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang bimbang dengan  peningkatan mendadak kes harian Covid-19 dukacita melihat ramai rakyat Kelantan masih mengambil ringan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda menyeru semua pihak memainkan peranan dan mengambil serius pematuhan SOP PKP yang ditetapkan dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan kes penularan Covid-19.

Menurutnya, berikutan penularan varian Afrika Selatan B.1.351 yang telah dikesan di negeri itu, baginda menitahkan semua pihak terutamanya rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V juga menyarankan peniaga agar mengutamakan pengurusan perniagaan melalui atas talian.

“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga sekeliling dan berempati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan COVID-19 lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Nik Mohd Shafriman, Sultan Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah dalam berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

Sempena minggu terakhir Ramadan ini, baginda turut mengajak semua rakyat berdoa ke hadrat Allah S.W.T supaya penularan Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin serta tindakan kolektif diambil rakyat dapat segera melandaikan jangkitan wabak yang semakin membimbangkan.

Justeru, baginda mengingatkan seluruh rakyat Kelantan supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan wabak berkenaan.

Related posts

Leave a Comment