Rentas Tasman digantung

WELLINGTON: New Zealand pada 23 April (Jumaat) menghentikan sementara aturan perjalanan khas yang baru dibuka dengan Australia, lima hari lalu ekoran penularan Covid-19 di negara jirannya itu.

Menurut kenyataan di laman web kerajaan New Zealand, perjalanan Rentas Tasman, antara New Zealand dengan Australia Barat digantung, sementara menunggu nasihat lebih lanjut daripada kerajaan wilayah.

Keputusan itu diambil setelah Australia Barat mengumumkan langkah sekatan pergerakan untuk tiga hari di daerah Perth dan Peel, mulai tengah malam Jumaat hingga Sabtu, setelah seorang pengembara disahkan positif Covid-19.

Kenyataan di laman web pemerintah Australia Barat pula menyatakan keputusan

melaksanakan sekatan itu menyusuli “kes positif Covid-19 daripada kuarantin hotel yang aktif dalam masyarakat.

Media tempatan melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 50-an tahun terbang ke Melbourne dari Perth pada Rabu dan diuji positif koronavirus lebih awal pada Jumaat.

Beliau menjalani kuarantin yang diwajibkan di sebuah hotel di Perth dan, sebaik sahaja keluar, mengunjungi restoran, universiti, kolam renang umum, pejabat doktor dan rumah seorang rakan sebelum meninggalkan kawasan itu.

Rakan yang dikunjungi lelaki itu diuji positif Covid-19 sejak itu.

New Zealand dan Australia telah membuka aturan perjalanan khas bebas kuarantin pada 18 April, hampir 400 hari setelah mereka menutup sempadan masing-masing disebabkan pandemik Covid-19.

Aturan perjalanan khas itu, yang menyusuli rundingan berbulan-bulan antara jiran-jiran yang rata-ratanya bebas koronavirus, dilihat sebagai pencapaian besar dalam memulakan semula industri pelancongan global

Melalui aturan itu penumpang dari Australia dan New Zealand – dapat terbang merentasi Laut Tasman tanpa menjalani kuarantin wajib semasa ketibaan.

Related posts

Leave a Comment