PETIKAN DARI FB DR SHAMRAHAYU AZIZ
PADA 1 November lepas saya membuat paparan tentang 8 soalan dan jawapan bagi hal ehwal berkaitan penangguhan pilihan raya. Antara isu yang saya jelaskan pada paparan tersebut ialah, tiada undang-undang yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat hendaklah diisi dalam masa 60 hari. Maka, pada bacaan (tafsiran) Perkara 54 itu, pilihan raya hendaklah diadakan sebelum genap 60 hari bagi membolehkan kerusi yang kosong di luar jangka diisi dalam masa 60 hari.
SOALAN 3 paparan saya pada 1 November lepas adalah seperti berikut:
Adakah wujud undang-undang lain yang membolehkan pilihan raya TIDAK diadakan menurut Perkara 54 Perlembagaan; bolehkah Akta 342 atau arahan Suruhanjaya Pilihan Raya digunakan bagi menangguh pilihan raya dan menangguh pengisian kekosongan di Dewan Rakyat?
Jawapan:
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, maka setiap tindakan badan kerajaan, termasuk pihak eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman serta semua pihak hendaklah mematuhinya.
Sekiranya peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi, kesannya kelak ialah tindakan tersebut menjadi suatu yang tidak berperlembagaan. Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (atau kerajaan) enggan melaksanakan pilihan raya maka tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan.
Apa kesannya kalau suatu tindakan itu tidak berperlembagaan?
Kesannya mungkin terdapat tindakan undang-undang yang boleh dilakukan ke atas kerajaan (atau SPR) untuk memenuhi tuntutan peruntukan dalam perlembagaan tersebut tersebut. Walaupun mungkin tuntutan seumpama itu tidak akan dibuat oleh mana-mana pihak, pengisian kekosongan dalam Parlimen perlu dibuat kerana ia adalah kehendak demokrasi berparlimen.
Bolehkah pilihan raya diadakan, tetapi parti politik enggan bertanding?
Ya. Boleh. Suruhanjaya Pilihan Raya boleh mengumumkan hanya seorang calon dan calon itu boleh diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding. Sekali gus pilihan raya tidak perlu berlangsung sebagaimana kebiasaan. Tidak perlu proses pemilihan (mengundi).
Adakah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Suruhanjaya Pilihan Raya boleh diperkasa untuk menghalang pilihan raya?
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ialah Akta yang terpakai sepanjang pandemik COVID-19 di Malaysia. Sebagai sebuah Akta, sifat Akta 342 ini ialah ia hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh berbuat sesuatu yang mengatasi Perlembagaan kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang yang dibuat selepas Merdeka adalah tidak sah sekiranya tidak selaras dengan Perlembagaan (setakat mana tidak selaras). Begitu juga dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Suruhanjaya tidak boleh berbuat sesuatu yang tidak selaras dengan Perlembagaan.
JUSTERU, oleh kerana tiada undang-undang “biasa” dalam bentuk Akta atau arahan yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang “yang tersimpan” dalam bentuk pengisytiharan darurat boleh dibuat.
Perkara 150 adalah relevan untuk membolehkan proklamasi darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya baginda berpuas hati keadaan darurat telah atau mungkin berlaku pada mana-mana bahagian Persekutuan.
Saya petik Perkara 150(1) dan (2) untuk panduan pembaca:
150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu
darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan,
atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang
di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat
dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud
sedemikian.
(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan
sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.
Paparan saya pada 1 November lepas juga menjawab sama ada darurat boleh diisytihar atas alasan pandemik. Saya petik paparan itu seperti di bawah:
Adakah darurat boleh dibuat atas sebab pandemik?
Jawapan:
Telah diputuskan dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia (1968) 2MLJ 238 (PC), Lord Macdermott membuat pemerhatian berikut:
“emergency used in Art 150 cl (1) cannot be confined to the unlawful use or threat of force in any of its manifestations. While Art 149 of the Federal Constitution is aimed at stopping or preventing subversion of that character, the terms of Art 150 are much less restricted. Although an “emergency” to be within that Art must not only grave but such as to threaten the security or economic life of Federation or any part of it, the natural meaning of the word itself is capable of covering a very wide range of situations and occurrences, including diverse events as wars, famines, earthquakes, floods, epidemics and collapse of civil government”.
Hakim menyebut perkataan “epidemics”, tidak “pandemic”. “Epidemic” adalah keadaan yang lebih ringan berbanding pandemik. Maka pastinya darurat boleh diisytihar atas sebab pandemik kerana keadaannya adalah lebih serius.