Fasa membimbangkan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, pandemik Covid-19 kini memasuki “fasa yang membimbangkan”.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beberapa bulan akan datang bakal menjadi lebih sukar, terutama di Eropah dan Amerika Utara.

Ini berikutan kedatangan musim sejuk di hemisfera utara dan lonjakan dalam jumlah kes baharu.

“Oleh itu, penting kepada semua kerajaan menumpukan perhatian kepada asas utama yang membantu memutuskan rantaian penularan demi untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” kata Tedros pada sidang media maya, Isnin.

Tedros sebelum ini menggesa orang ramai mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah influenza menjelang musim sejuk sebagai usaha mencegah selesema dan Covid-19.

Katanya, setiap tahun, terdapat sehingga 3.5 juta kes selesema yang teruk di seluruh dunia dan hingga 650,000 kematian berkaitan pernafasan.

Bagaimanapun sepanjang musim sejuk tahun ini, jumlah kes jangkitan dan kematian kurang daripada biasa kerana langkah yang dilakukan bagi mencegah Covid-19.

Kira-kira 80 peratus negara di seluruh Eropah menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dan kes di 37 wilayah dari 13 negara telah meningkat.

WHO menyarankan vaksin infleunza disasarkan kepada lima kumpulan utama iaitu wanita hamil, pesakit kronik, warga emas, pekerja kesihatan dan kanak-kanak.

Sementara itu, Tedros berkata, sebanyak 184 negara dan ekonomi bergabung di bawah COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa  dipimpin WHO dan rakan-rakannya untuk memastikan akses vaksin Covid-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia.

“COVAX mewakili portfolio terbesar vaksin Covid-19 dan kaedah paling berkesan untuk memastikan vaksin dapat dikongsi dengan selamat dan berkesan di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, berkongsi vaksin secara adil adalah cara terpantas untuk melindungi masyarakat yang berisiko tinggi, menstabilkan sistem kesihatan dan mendorong pemulihan ekonomi global yang berkesan.

Sebagai antara negara utama dalam pembangunan vaksin, China secara rasmi bergabung di bawah COVAX, langkah yang disifatkan  jurucakap Kementerian Luar  China sebagai penting untuk menegakkan konsep komuniti kesihatan bersama bagi semua dan komitmen menjadikan vaksin Covid- 19 membawa kebaikan kepada masyarakat awam global.

Menurut laman web WHO, pada 19 Oktober, terdapat 198 vaksin  percubaan  yang dibangunkan di seluruh dunia dan 44 daripadanya kini di peringkat ujian klinikal

Related posts

Leave a Comment