Bersatu anggap tidak berasas

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan semua ahli Parlimen mereka kekal menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara, kata Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin.

Beliau menyifatkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat membentuk kerajaan baharu sebagai satu lagi dakwaan tidak berasas.

Katanya, semua ahli Parlimen Bersatu sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebalikya.

“Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah sebuah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.

“Percaturan beliau untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri dan sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah juga berkata dakwaan Anwar juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ke-3 penularan wabak Covid-19.

“Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson serta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment