Hotel ‘rawat’ pesakit Covid-19

INDONESIA merekodkan 4,002 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu meningkat kepada 282,724 kes.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, sebanyak 132,496 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini 29 September, 128 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 10,601 orang.

Provinsi Jakarta merekodkan 1,238 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes keseluruhan tertinggi di republik Indonesia iaitu 72,577 kes, dengan kematian keseluruhan 1,716 orang.

Sementara itu, pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit Covid-19, berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh.

Ketua Bidang Kesihatan Masyarakat, Provinsi Jakarta, Fify Mulyani dalam siaran di YouTube rasmi BNPB Indonesia  berkata dua hotel iaitu Ibis Style di Mangga Dua, Jakarta Utara dan U Stay Hotel di Mangga Besar, Jakarta Barat, telah dijadikan tempat kuarantin dan rawatan kepada pesakit Covid-19 bermula semalam.

Beliau berkata kedua-dua hotel itu boleh menampung 212 (Hotel Ibis) dan 140 pesakit (Hotel U Stay).

Sementara itu Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Krisnadi dalam kenyataan berkata 30 hotel di Jakarta telah dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara bagi merawat dan tempat kuarantin pesakit Covid-19.

Pada 14 September lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan menyatakan 67 hospital di Jakarta berada di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan berikutan trend kes positif baharu di Jakarta secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas.

Related posts

Leave a Comment