Menyambut kelahiran semula

ALHAMDULILLAH, Utusan Malaysia dan Kosmo! mengisi semula rak jualan akhbar di kedai dan stesen minyak. Saya mendapatkan akhbar itu di Petronas Bandar Seri Putra. Sahlah, Utusan Malaysia dan Kosmo! bangkit kembali’ menemui pembaca.

Pasti ramai yang ternanti-nantikan penampilan semula selepas ‘dimatikan hayatnya’ pada Oktober 2019. Keluaran terakhir Utusan Malaysia dan Kosmo! di bawah syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad adalah pada 9 Oktober 2019.

Selepas itu, permit penerbitan telah dijual kepada Media Mulia Sdn.Bhd. Setelah begitu lama ‘berehat’, sembilan bulan, dua akhbar ini dilahirkan kembali mendepani cabaran industri media cetak bersama akhbar berbahasa Melayu lain seperti BH, Metro dan Sinar Harian.

Naskhah Utusan Malaysia – PEMIKIRAN BAHARU – kekal dengan harga RM2 sementara Kosmo! – SUARA KONTEMPORARI – juga RM2 berbanding akhbar lain RM1.50 kecuali Sinar Harian RM1.20.  Dua akhbar ini tampil dengan 48 muka surat.

Dengan tajuk utama muka depan Utusan Malaysia ‘Bangkit semula’ ia bertepatan dengan kemunculan semula Utusan Malaysia.Beberapa ruangan yang masih kekal di Utusan Malaysia adalah Senyum Kambing. Cuma wajah dua watak utama Kambing sudah berubah.

Komik dan Kartun pula kekal dengan Mamak Cyber sentuhan Maro, Senyum Pagi bersama Kerengge dan komik Jaguh Dari Timur oleh Shah Hasan. Ruangan Renungan bersama terjemahan ayat al-Quran juga dikekalkan.

Tidak kelihatan BISIK-BISIK atau AWANG. Bagaimanapun ada Minda Pengarang. Mantan Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain pula diundang mengisi ruangan KATA SAYA. Khabarnya setiap Isnin.

Rasanya, tidak perlu diulas satu persatu kandungan akhbar itu secara berlebihan kerana bimbang ada pula yang kurang senang. Eloklah dapatkan naskhah kelahiran semula ini. Jika suka dan menarik beritahu kawan, jika tidak suka beritahu editorial supaya diperbaiki kelemahan yang ada.

Baca dan nilai sendiri di samping mengetepikan apa juga sentimen. Jangan terlalu negatif, biar pun dalam konteks Covid-19, negatif itu bagus.

Diharapkan Utusan yang diterajui sebilangan kecil mantan warga kerja Utusan Melayu dapat bertahan. Merekalah yang memainkan peranan perhatian. Berilah perhatian kepada kelahiran semula ini.

Tahniah kerana anda sebagai sebahagian kecil keluarga besar Utusan terpilih untuk meneruskan kelangsungan Utusan Malaysia dan Kosmo! Masih banyak cabaran yang perlu dihadapi. Utusan yang berlalu sudah jadi sejarah.

Semoga tiada halangan untuk Utusan Malaysia dan Kosmo! baharu ini untuk terus menempatkan diri di dunia persuratkhabaran ini. Api itu sudah padam. Api itu sudah membakar duri di belakang. Semoga tiada lagi api di hadapan dan tiada lagi duri di belakang.

Sokongan pembaca juga akan membantu kelangsungan hayat akhbar ini. Jangan sekadar bercakap mengucapkan tahniah dan sebagainya tetapi gagal membantu sebagai pembeli atau sekurang-kurangnya sebagai pembaca.

Pada masa yang sama peranan editorial itu lebih penting bagi memenuhi cita rasa pembaca supaya pembaca terus kekal bersama.

Sekali lagi tahniah semua dan Selamat Maju Jaya!

Related posts

Leave a Comment