Kes Indonesia cecah 16,000

KES positif Covid-19 di INDONESIA kini melepasi angka 16,000, dengan kes  kematian meningkat kepada 1,043 orang.

Sebanyak 568 lagi kes positif baharu virus itu direkodkan bagi tempoh 24 jam, menjadikan jumlah yang dijangkiti kini 16,006 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 15 lagi kematian dicatatkan.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 452 kes, diikuti Jawa Timur (167 kes), Jawa Barat (99) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Kementerian Kesihatan SINGAPURA mengesahkan 752 kes positif baharu, menjadikan jumlah jangkitan  26,098 kes.

Hanya dua kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Singapura setakat ini telah mengklasifikasikan 1,324 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 434 kes yang melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 23,008 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Pada masa ini, 4,809 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti rawatan komuniti.

Ketika ini, 1,037 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan 19 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi, sementara 21 telah meninggal dunia.

Kementerian itu berkata 19,479 yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Di FILIPINA, sehingga pukul 4 petang, Jabatan Kesihatan merekodkan 258 kes baharu menjadikan jumlah kes 11,876. (Lihat Grafik)

Jumlah kematian pula meningkat kepada 790 kes apabila 18  kematian baharu direkodkan. Sementara 86 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,337.

Sementara itu di THAILAND, satu kes baharu dan kematian sifar dilaporkan menjadikan jumlah kes sebanyak 3,018 manakala kematian kekal 56 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, enam kes pulih dan dibenarkan keluar hospital. Jumlah keseluruhan kes pulih adalah 2,850.

Related posts

Leave a Comment