Catatan 20 Ramadan

Suasana 2013 dan kini berbeza

BEGITU pantas masa berlalu. Hari ini genap 20 hari kita berpuasa. Syukurlah, kerana kita masih dapat menjalani ibadah ini dalam suasana ‘luar biasa’ walaupun dengan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Keadaan ini lebih baik berbanding mereka yang berhadapan dengan pelbagai masalah lain.

Mungkin di sesetengah negara, ada yang tidak mampu bersahur, berbuka atau mengerjakan solat Tarawih dengan sempurna. Mereka ‘menderita’ kerana persengketaan dan ‘perang saudara’ disebabkan kuasa politik. Mungkin ketika wabak Covid-19 ini, keadaan terkawal.

Di negara kita walaupun tiada bazar Ramadan, tiada lagi majlis iftar di masjid, surau, hotel dan sebagainya, bekalan makanan untuk berbuka tidak pernah terputus sama ada dihasilkan sendiri atau dapatkannya di kedai atau restoran yang beroperasi. Malahan melalui online, juadah dihantar hingga ke pintu rumah.

Covid-19, adalah musuh yang tidak kelihatan tetapi paling ditakuti penduduk dunia yang tidak mampu menghapuskannya dengan senjata moden atau angkatan perang yang ramai. Covid-19 tidak peduli sehebat mana kelengkapan ketenteraan yang ada.

Dalam masa singkat,  tiba-tiba sahaja mangsa ‘bergelimpangan’ bagaikan terkena bom. Bukan setakat nyawa, ekonomi pun boleh diranapkannya. Maka masing-masing terpaksa menjaga diri supaya tidak diserang musuh.

Semoga kehadiran Covid-19 ini menginsafkan manusia yang selama ini begitu angkuh dan sombong dengan kekuasaan sama ada ekonomi atau ketenteraan. Ketika ini, manusia sedang mengejar masa untuk membangunkan semula ekonomi tetapi secara berhati-hati sementara mendapat ‘senjata’ baharu bagi memerangi Covid-19.

Buat masa ini, sehebat mana ketenteraan seluruh dunia, Covid-19 tidak mampu dinyahkan sebaliknya memerlukan penyatuan atau solidariti masyarakat dunia tanpa mengira warna kulit, dan fahaman agama.

Kini kita berada pada malam 10 terakhir. Dalam tempoh inilah, ramai yang ternanti-nantikan Lailatulqadar. Tahun ini, ada kelainan ketika menanti Lailatulqadar. Kebanyakan atau hampir seluruhnya duduk beribadat di rumah. Tidak dapat ke masjid dan surau.

Bukan setakat di negara kita sahaja malahan di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Suasana sesak umat Islam hilang kali ini. Solat tarawih, tadarus al Quran dan qiamullail berlangsung di rumah sahaja.

Di Makkah dan Madinah jika tiada sekatan, ketika ini jumlah jemaah umrah akan meningkat secara mendadak. Masing-masing mahu mempertingkatkan ibadah mereka. Bagi kita di Malaysia, sama-samalah untuk turut sama melipatgandakan ibadah pada malam-malam terakhir ini.

Isilah masa lapang yang terbentang luas dengan ibadah. Ketika larangan keluar rumah jika tidak perlu, sekurang kurangnya masa tidak terbuang di pusat membeli belah untuk persiapan hari raya, Rasanya tiada keperluan membuat persiapan kerana kita berhari raya dalam susana terhad.

Itu pun kita bernasib baik kerana di Arab Saudi, hari raya adalah perintah berkurung sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment