BERITA palsu tak kira tempat. Begitulah yang turut melibatkan Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Tersebar kenyataan kononnya Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan kedua-dua masjid itu akan dibuka pada 8 Ramadan.
Beberapa syarat turut disenaraikan termasuk jemaah menggunakan sejadah sendiri, tidak boleh guna al-Quran di masjid, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut dan mencuci tangan dengan pembersih kuman.
Menurut tweet Haramain, makluman berkenaan adalah palsu dan belum ada sebarang tarikh yang ditetapkan berkaitan pembukaan semula masjid kepada orang awam.
Semalam, Haramain menerima banyak pertanyaan berkaitan pembukaan semula masjid yang menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Setakat ini, hanya orang tertentu termasuk kakitangan masjid dibenarkan memasuki kawasan masjid.
Masjid juga mengambil pelbagai langkah untuk membendung wabak itu termasuk membersih kawasan berkaitan sebelum dan selepas solat dan memasang alat pengimbas haba bagi mengesan jemaah yang sakit.
Sebelum ini, Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melalui Twitter memaklumkan Masjidilharam dan Masjid Nabawi akan dibuka tidak lama lagi sebaik sahaja masalah penularan Covid-19 dapat ditangani.
Sheikh Abdul Rahman berkata, keadaan dijangka kembali normal di dua masjid suci tidak lama lagi dan ini adalah perkhabaran gembira buat keseluruhan umat Islam.
Tanpa menyatakan tarikh, beliau berkata, dua masjid suci itu akan dibuka untuk tawaf dan solat, serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, pihaknya tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan membuka dua masjid tersebut kerana perlu mengambil semua langkah pencegahan yang perlu demi kebaikan umat Islam
“Sekali lagi, kami menyeru semua umat Islam agar terus berdoa semoga pandemik ini selesai, berdoa untuk kebaikan pemimpin kita (Penjaga Dua Masjid Suci) sambil menerima bahawa apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik. Semoga Allah melindungi mereka,” kata Imam Besar Masjidilharam itu.