Covid-19 : Situasi di Filipina, Brunei, Thailand, Indonesia

SEKURANG-kurangnya 21 doktor meninggal dunia di FILIPINA akibat Covid-19, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan. Negara itu melaporkan 177 kematian dengan 3,764 kes positif.

“Kematian doktor itu selepas dijangkiti daripada pesakit yang berbohong mengenai kesihatan mereka dan tidak memaklumkan pernah terdedah kepada pesakit Covid-19,” kata presiden Persatuan Hospital Swasta, Rustico Jimenez. 

Setakat ini, 740 pegawai perubatan di Filipina disahkan mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 dan kini menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

Jimenez berkata kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk doktor dan kakitangan kesihatan lain di hospital swasta mendedahkan mereka kepada risiko dijangkiti. 

“Hospital swasta tidak menerima PPE, kami beli sendiri, tetapi sekarang susah untuk dapatkan bekalan,” kata Jimenez.

Sementara itu sehingga 4 petang ini, Filipina mencatatkan 106 kes baharu menjadikan 3,870 kes manakala lima kematian dilaporkan menjadikan 182.

Di BRUNEI Darussalam, jumlah kes kekal 135 apabila buat hari keempat tiada kes baharu dilaporkan.

Sebanyak enam kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah sembuh dan dibenarkan pulang. Setakat ini 91 orang sembuh.

Setakat ini juga, 43 kes masih dirawat di mana dua orang kritikal.

Ketika ini juga 94 orang masih dikuarantin manakala 203 sampel telah diuji manakala 8,648 telah menjalani ujian makmal.

Di BANGKOK, 111 kes baharu dan tiga lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif positif wabak itu sebanyak 2,369 kes dan 30 kematian.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 42 kes adalah antara 76 warga Thailand yang pulang dari Indonesia pada Isnin lepas bagi menghadiri perhimpunan agama di negara itu yang telah dibatalkan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata tiga kematian itu melibatkan warga asing iaitu warga Rusia berumur 48 tahun, India (69 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun)

“Daripada 2,369 pesakit, terdapat 888 pesakit yang sembuh dan telah pulang ke rumah,” katanya dalam taklimat harian hari ini.

Sementara itu, Thaweesilp berkata Thailand telah melaksanakan 81,860 ujian Covid-19 sejak penularan wabak itu.

Di JAKARTA, lebih 450,000 orang telah menjalani ‘rapid test’ setakat ini sebagai satu usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal jangkitan virus Covid-19.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata ia selaras dengan arahan Presiden Joko Widodo pada 20 Mac lepas yang mahukan rapid test dilaksanakan secara massa, menerusi pemeriksaan sampel darah.

Bekiau berkata sebanyak 218 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif kini berjumlah 2,956 kes, manakala sejak 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 19 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kini 240 orang.

Achmad Yurianto sebelum ini menyatakan lebih 600,000 penduduk Indonesia berisiko dijangkiti virus itu.

Related posts

Leave a Comment