Hati-hati mencari penawar

SEJAK Covid-19 melanda, macam-macam petua muncul bagi mengawal wabak yang semakin menggila di serata dunia. Tidak ada senjata moden yang mampu menghadapi musuh ini. Belum ada vaksin atau penawar khusus. Apa  sahaja yang dikatakan pelindung atau penawar yang ‘melintas’ di depan mata akan disambar.

Selain penutup hidung dan mulut dan pembersih kuman (sanitizer) muncul pelbagai petua atau idea untuk sekurang-kurangnya dianggap sebagai bahan pencegah bagi menghadapi Covid-19. Ini satu keperluan, bukan dongengan tetapi awas supaya tidak terbeli barangan tiruan yang tidak mematuhi piawaian atau standard.

Begitu juga petua lain yang berkaitan air suam, lemon, bawang putih, ketum dan daun semambu. Semalam seorang rakan menghantar mesej bertajuk ‘batang ubi kayu boleh mencegah wabak Covid-19’. Macam-macam.

Begitulah orang ramai akan mencuba sesuatu untuk mempertahankan diri daripada serangan wabak ini. Semua orang bimbang wabak ini dan pada masa yang sama berusaha dan berikhtiar untuk melindungi diri dan keluarga mereka. Ikhtiar itu penting sebelum berserah kepada Yang Maha Esa.

Bagi ‘mempertahankan diri’ maka berebut orang mendapatkan apa juga ‘pelindung dan penawar’. Paling laris sudah tentu penutup hidung dan mulut dan pembersih kuman. Pil atau tablet  yang dikaitkan dengan pencegahan juga laris seperti pisang goreng Makcik Kiah. Pokok semambu juga dicari. Begitulah kuatnya pengaruh tular melalui media sosial. 

Sebut semambu, dulu di kampung, kalau demam, emak akan cari daun ini untuk mandi. Itu petua yang saya tahu. Yang lain tak pasti. 

Daun semambu popular selepas tular audio dan video yang dikaitkan dengan Covid-19. Bagaimanapun salah satu video yang dikaitkan dengan tablet berjenama ditarik balik.  Mungkin kerana merujuk kepada jenama, kedua bagi mengelakkan kekeliruan serta kesahihan keberkesanan bagi Covid-19. Lebih-lebih lagi apabila pandangan itu oleh ahli farmasi yang pasti boleh mengundang keyakinan.

Audio dan facebook pertama juga menarik perhatian ramai apabila seorang bapa mencuba daun semambu untuk anaknya yang dikatakan mempunyai gejala Covid-19 iaitu batuk dan sakit tekak. Khabarnya apabila dibawa ke klinik, anaknya disuruh pulang.  Beliau kemudian berikhtiar dengan rebusan daun semambu. 

Bagi kedua-dua isu ini, beberapa pihak termasuk pakar perubatan tampil memberi penjelasan. Tidak kurang juga respons netizen yang memberi pelbagai pandangan. Gunakan kebijaksanaan untuk menilainya. Jika itu hanya sebagai ikhtiar, cubalah..

Tetapi apa juga ikhtiar,  jangan hingga memudaratkan kesihatan. Berhati-hati. Dalam mengubati penyakit, pandangan pakar perubatan perlu diambil kira. Rujuklah kepada yang lebih arif. Bagi kita yang tidak mempunyai ilmu, mudah sahaja buat penilaian iaitu Covid-19 adalah wabak baharu, belum ada vaksin. Itu sahaja. 

Namun disebabkan kebimbangan, ramai yang tidak ada pilihan untuk ‘menyambar’ sebarang petua yang muncul, dengan harapan dapat mencegah.

Dalam mencari kepastian, kita boleh merujuk pelbagai sumber untuk tidak mengelirukan. Dalam isu semambu, salah satunya penjelasan oleh Dr. Che Puteh Osman. Boleh dapatkan juga tulisan berkaitan di  cheputeh.com. Sekurang-kurangnya dapat menjawab persoalan yang masih berlegar.

Ketika menjelaskan isu ini, Che Puteh mempersoalkan sama ada pesakit yang dimaksudkan disahkan positif Covid sebelum minum air rebusan semambu atau neem dan menjadi negatif setelah mengambil air rebusan itu. Jika tidak terbukti positif, bermakna anaknya mungkin hanya jangkitan virus biasa yang kebiasaannya pulih sendiri walau tanpa ubat. 

“Tetapi untuk mengatakan dia berkesan merawat jangkitan Covid, ia memerlukan pembuktian secara klinikal ke atas manusia. Ini kerana sebatian kimia aktif yang ada dalam neem perlu diformulasi dengan kaedah yang tepat supaya sampai kepada sasaran dalam badan. Kalau tidak ia akan termusnah dicerna oleh asid di dalam jus gastrik di dalam perut,” katanya.

Diharapkan, kita lebih berhati-hati. Bukan bermaksud mahu menolak ke tepi petua atau amalan orang dahulu tetapi mencuba sesuatu tanpa memudaratkan.

Berkaitan petua batang ubi kayu seperti permulaan tulisan inj, ia adalah hasil kreatif orang kita ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti  kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini. 

Pastinya ramai yang sudah tahu petua yang tular itu. Bagi yang belum, begini caranya: “Ambil batang ubi kayu yang sudah matang, buang daun. Potong sekurang-kurangnya 1 meter bermula dari pangkal, rendam semalaman untuk buang getah yang ada. Lepas tu ambil batang ubi kayu tu dan libas sahaja sesiapa yang masih degil merayap ke sana sini tanpa tujuan”.

Begitulah kreatifnya orang kita. Tetapi AMARAN, jangan mencuba. Biar sahaja polis dan tentera menjalankan tugas mereka. Kita duduk diam-diam di rumah.

Related posts

Leave a Comment