NEW YORK: Hampir satu bilion penduduk dunia terpaksa berkurung dalam rumah masing-masing, dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah turut menguatkuasakan perintah itu ketika jumlah korban Covid-19 kini melonjak kepada 13,000.
Lebih satu per tiga daripada seluruh rakyat Amerika terpaksa menyesuaikan kehidupan harian mereka dengan pelbagai fasa perintah berkurung, termasuk di New York, Los Angeles dan Chicago yang juga bandar berpenduduk paling padat, malah lebih banyak lagi negeri dijangka mengambil langkah meningkatkan sekatan.
New Jersey menjadi negeri terbaru di AS melaksanakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pantas pandemik itu yang menyebabkan perniagaan serta institusi pendidikan ditutup dan jutaan orang terpaksa bekerja dari rumah.
Presiden AS, Donald Trump, menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk pengorbanan bersama seluruh negara.
“Ia juga masa untuk menghargai insan yang kita sayangi.
“Kita akan mencapai kemenangan besar,” katanya pada satu sidang media.
Covid-19 kini meragut 12,725 nyawa di seluruh dunia dengan Itali yang paling terkesan dengan wabak itu merekodkan hampir 800 korban dalam tempoh sehari dan menjadikan jumlahnya melepasi 4,800 mangsa di negara itu, manakala Sepanyol melaporkan peningkatan 32 peratus kes kematian baharu.
Jumlah kematian di Perancis pula meningkat sebanyak 112 kepada 562 kes, sementara pegawai polis memaklumkan dron dan helikopter digunakan untuk membantu usaha kerajaan memastikan orang ramai tidak keluar rumah.
“Helikopter terbabit akan memberikan penglihatan lebih besar dan pandangan meluas terhadap keadaan dalam waktu sebenar bagi membantu kami melaksanakan rondaan di darat,” kata sumber polis kebangsaan.
Hampir satu bilion penduduk di 35 negara terpaksa berkurung dalam rumah, termasuk 600 juta yang diwajibkan atas perintah mandatori oleh kerajaan, berdasarkan satu penjumlahan oleh AFP.