Milik siapakah khazanah Utusan?

DI SEBALIK keresahan lebih 1,600 kakitangan dan bekas kakitangn Kumpulan Utusan mengenai masa depan, gaji dan pampasan, timbul juga persoalan terhadap nasib ‘hartanah’ – harta dan tanah milik syarikat yang gulung tikar itu. Ibu pejabat korporat, tapak bangunan lama dan kilang percetakan antara harta yang menjadi kebanggaan pekerja. Dulu, kini dan selamanya. Namun penutupan syarikat atau Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) menyebabkan kebanggaan sedikit terjejas. Apa yang dibanggakan selama ini berkaitan kilang dan pejabat pudar apabila semua harta itu ‘dicairkan’ atau berpindah milik bagi menjelaskan hutang yang ditanggung. Sekadar sejarah tanpa sesuatu yang realitinya boleh dibanggakan, ibarat tubuh tanpa pakaian.

Memang sedih pengakhiran sebuah syarikat Melayu yang telah banyak jasanya kepada orang Melayu terdahulu. Penutupan operasi ini bukan seperti penutupan kilang besi, kilang gula, kilang kicap dan sebagainya tetapi penutupan sebuah organisasi media yang berpengaruh. Walaupun akhbar-akhbar berkenaan bakal dihidupkan tetapi bukan lagi milik ‘Utusan Melayu’. Dalam hal ini, tiba-tiba fikiran melayang mengingatkan dialog Abdul Wahub Ismet Ulam Raja dalam filem 3 Abdul. Dialog antara Sadiq Segaraga dan Abdul Wahub itu berbunyi:
Sadiq Segaraga: Jikalau anakanda marah, anakanda akan dijual dan harta benda semua ayahanda rampas. Disifatkan sebagai perjanjian berat sebelah, Abdul Wahub pula berkata : Jikalau anakanda marah, anakanda akan dijual seluruhnya tetapi jikalau ayahanda marah, ayahanda juga akan dijual seluruhnya.,”. Begitulah kisah harta dan manusia kena lelong.

Menyelak kembali harta milik Utusan yang boleh dibanggakan termasuklah Kompleks Sri Utusan, Bangi yang menempatkan loji percetakan dan Ibu Pejabat Korporat Utusan di Kuala Lumpur. Kedudukannya di lokasi yang strategik. Usia bangunan korporat itu masih muda, baru diduduki kira-kira tujuh tahun. Bangunan kebanggaan itu terlalu mentah untuk menceritakan perjalanan Utusan. Namun ‘wajahnya’ sudah tentu mengatasi bangunan lama yang terus dibiar mereput kecuali ruang bangunan yang disewa. Inilah dua kawasan utama yang amat bermakna bagi warga Utusan.

Di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, di situlah Utusan bertapak selepas berpindah dari Singapura pada tahun 1958. Di situlah akhbar Utusan Melayu dicetak mulai 7 Februari 1958. Di situ juga berlaku mogok 1961. Kemudiannya lahir akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Wanita, Al Islam, Dunia Sukan, Kosmo! dan pelbagai lagi. Dalam keadaan pejabat serba kekurangan kakitangannya gigih meneruskan kelangsungan penerbitan akhbar itu. Selama lebih 50 tahun berada di situ akhirnya berpindah ke ibu pejabat baharu setinggi tujuh tingkat yang dianggarkan bernilai RM70 juta. Perpindahan ke pejabat baharu bermula pada Jun 2013. Bangunan itu yang dilengkapi tempat letak kereta bertingkat, surau, dewan besar serta ruang kedai/pejabat untuk disewa disifatkan sebagai lambang kejayaan Utusan. Kompleks Percetakan Sri Utusan di Bangi pula dirasmikan pada 1998 bagi memusatkan aktiviti percetakan akhbar dan majalah. Pastinya ketika itu, warga Utusan bangga dengan pencapaian ini.

Malangnya kebanggaan itu bersifat sementara. Tidak mampu bertahan lama. Yang baharu tidak semestinya kuat dan mampu bertahan. Bangunan tujuh tingkat itu bakal tinggal sejarah. Penggulungan syarikat seolah-olah meruntuhkan bangunan itu. Hilang sekelip mata. Bakal berpindah tangan. Entah siapa pemilik baharunya. Maka sebelum nama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di bangunan itu mungkin tertanggal atau diturunkan, maka saya abadikan foto ‘lama’ bangunan korporat itu sebagai cover facebook milik saya. Untuk rekod, mereka yang bergambar di hadapan bangunan itu adalah sebahagian veteran Utusan dan kakitangan yang ketika itu masih bertugas. Veteran Utusan diraikan pada satu majlis ramah mesra pada 25 September 2013, iaitu selepas 12 hari bangunan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak pada 13 September 2013. Kumpulan veteran ini adalah antara yang menyumbang kepada Utusan di bangunan lama di Jalan Lima.

Mereka adalah antara yang telah menyumbang tenaga, fikiran dan keringat untuk meneruskan kelangsungan Utusan. Walaupun sebahagian besarnya tidak dapat merasai suasana bekerja di pejabat yang lebih sempurna tetapi setiap daripada mereka pastinya berbangga bahawa Utusan ketika menyambut usia 75 tahun sudah mempunyai bangunan yang hebat lengkap dengan tempat letak kereta bertingkat yang lebih selesa berbanding sebelum ini. Jika dulu suasana pejabat di Jalan Lima sempit serta daif, kini keadaan berubah. Jika dulu kakitangan jabatan tertentu berselerak di lokasi lain, tetapi akhirnya berada di bawah satu bumbung. Keluarga Utusan menjadi lebih besar. Malangnya kegembiraan itu hanyalah bersifat sementara. Ketika usianya mencecah 80 tahun, Utusan tinggal sejarah.

Jika ditanya setiap seorang yang pernah bersama Utusan, sudah tentu mereka tidak mahu bangunan ini ‘hilang’. Apa lagi yang bakal ditinggalkan sebagai sejarah untuk menunjukkan perjuangan Utusan Melayu. Namun bak kata orang ditelan mati emak di luah mati bapa. Syarikat tidak ada pilihan lain. Selepas ini mungkn hanya papan tanda perasmian tinggal sebagai kenangan. Itu pun adakah sesiapa yang dipertanggungjawabkan oleh pengurusan Utusan sebelum ini untuk menyimpannya dengan selamat sebagai bahan sejarah atau akan dijual seluruhnya.

Harus diingat, ‘Utusan yang digulung’ atau dikuburkan bukan sekadar bangunan yang boleh dijual beli. Hakikatnya di dalam bangunan itu tersimpan khazanah yang amat bernilai untuk rujukan generasi akan datang. Di dalamnya tersimpan pelbagai khazanah yang amat berharga yang tidak mungkin dinilai atas nama RM sahaja. Berapa banyak ‘akhbar lama’ serta foto yang tersimpan di situ. Apakah langkah yang telah diambil sebelum ini bagi menyelamatkan ‘khazanah’ yang masih tersimpan? Bagi yang baharu dalam industri ini mungkin tidak dapat menilainya. Syukurlah jika tanggungjawab itu diletakkan di bawah syarikat yang membeli permit akhbar itu. Jangan biarkan khazanah dalam pelbagai bentuk sama ada surat khabar, gambar sama ada secara cetakan hitam putih atau simpanan digital hilang atau rosak begitu sahaja. Dalam hal ini kepakaran petugas Pusat Maklumat sebelum ini perlu dimanfaatkan. Mereka lebih arif dengan ‘khazanah’ itu.

Amat makang jika pengurusan Utusan sebelum ini tidak mempedulikan nilai sejarah atau bahan yang sudah tersimpan begitu lama. Bertahun-tahun bahan-bahan sejarah itu dipulihara serta ditambah baik penjagaannya untuk melindungi khazanah itu. Jangan hanya kerana penggulungan ini, semua khazanah itu akan menerima nasib bagaikan surat khabar lama!

Sumber: http://bebasnews.my/2019/10/15/milik-siapakah-khazanah-utusan/

Related posts

Leave a Comment